Thursday, June 30, 2011

Flotila tidak bawa senjata



Seorang aktivis memegang poster 'Biarkan Kami Belayar ke Gaza' semasa sidang akhbar pengumuman persediaan 'Flotila Pembebasan II' oleh aktivis antarabangsa ke Gaza dari Greece, di Athens pada 27 Jun lalu. - REUTERS


ATHENS 29 Jun - Penganjur flotila ke Genting Gaza semalam menyelar dakwaan Israel yang menyatakan mereka membawa bahan berbahaya yang akan digunakan untuk menyerang tentera rejim Zionis sekiranya ia cuba menghentikan pelayaran mencabar sekatan Israel di perairan antarabangsa.

Aktivis Huwaida Arraf dari pergerakan Bebaskan Gaza berkata, dakwaan itu 'sama sekali mengarut' dan flotila tersebut 'bukanlah bermaksud menimbulkan keganasan'.

Beliau memberitahu agensi berita dpa, semua penumpang dan aktivis yang menyertai konvoi itu juga telah menandatangani satu perjanjian sebagai jaminan tidak melakukan keganasan.

Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Avital Leibovich semalam mendakwa, pihaknya menerima maklumat menyatakan flotila itu membawa baja sulfur.

Dakwanya, baja sulfur itu akan dilemparkan ke arah tentera rejim Yahudi ketika mereka cuba menghalang konvoi tersebut daripada sampai ke Genting Gaza.

Israel kelmarin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak menghalang flotila 10 kapal tersebut daripada mencabar sekatan ke atas Genting Gaza, dengan janji kononnya tidak akan melibatkan sebarang pertumpahan darah seperti tahun lalu.

Beratus-ratus aktivis pro Palestin dari Greece, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan negara lain bakal menyertai konvoi 10 kapal termasuk dua kapal kargo dengan muatan hampir 3,000 tan bekalan bantuan bagi pelayaran merentasi Laut Mediterranean ke Genting Gaza.

Masih belum jelas bilakah kapal-kapal itu akan memulakan pelayaran dari pelabuhan Piraeus di Greece.

Aktivis Skandinavia yang mahu menyertai flotila antarabangsa ke Genting Gaza itu kelmarin berkata, kipas kapal mereka telah disabotaj oleh orang yang tidak bertanggungjawab semasa berlabuh di sebuah pelabuhan di Greece.

Kata aktivis Sweden, tali kipas kapal 'Juliano' dikerat di pelabuhan Piraeus dan kerja membaiki kerosakan itu akan mengambil masa beberapa hari. - dpaUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment