Saturday, June 11, 2011

Kelab Taat Suami galak poligami

Isteri dikhuatiri dipaksa patuh demi kepentingan peribadi: Mashitah

KOTA BHARU: Orang ramai perlu menghalusi asas penubuhan Kelab Taat Suami diwujudkan kalangan isteri berpoligami daripada Global Ikhwan Sdn Bhd yang dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam.
Lebih membimbangkan, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, istilah taat itu boleh disalahertikan sehinggakan isteri dipaksa patuh kepada suami demi kepentingan peribadi, termasuk keinginannya berkahwin ramai.
“Saya tidak menentang poligami sebab itu hukum Allah tetapi perlu dibuat mengikut lunas ditetapkan agama. Kita kena lihat siapa ambil inisiatif gerakkan kelab ini dan asal usulnya yang memang isteri poligami daripada Global Ikhwan iaitu kumpulan Arqam terdahulu yang mengumpulkan isteri supaya taat.

“Kenyataan mereka lebih kepada tujuan ajak orang masuk kelab...hari ini dia kata wanita perlu pakai seksi (depan suami), dulu kata wanita perlu layan suami seperti pelacur. Saya pun tak faham jika ada wanita yang berstoking dan tudung labuh di rumah sebab di rumahlah wanita berpakaian yang terbaik.

“Saya bimbang istilah taat itu disalahertikan...nanti suami minta isteri pinangkan isteri nombor dua. Kalau tidak, nanti tak taat, kalau tak kahwin lagi satu nanti jadi maksiat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu Ke-10 2011 di Dewan Sekolah Menengah Tanjung Chat, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan kenyataan Presiden Kelab Taat Suami Malaysia, Fauziah Ariffin, semalam yang mengakui beliau memenuhi keperluan batin suaminya dengan berpakaian menarik dan seksi yang juga cara terbaik memberi layanan kepada suami. Sebelum ini, kenyataan Naib Presidennya, Dr Rohaya Mohamed, mengingatkan isteri supaya melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Dr Mashitah yang mahu Pendaftar Pertubuhan meneliti semula kelulusan pendaftaran kelab itu.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, pelbagai pihak mahukan kerajaan memantau kelab itu dan kenyataan pemimpinnya bagi mengelak perkembangan ajaran dan fahaman sesat berikutan kelab itu diasaskan bekas pengikut al-Arqam.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq, berkata ketiadaan pemantauan oleh kerajaan memberi peluang kepada pihak tertentu mengembangkan ajaran dan fahaman sesat di negara ini.

Beliau sendiri yang turut ditawarkan keahlian Kelab Taat Suami berkata, tidak sewajarnya institusi perkahwinan disamakan dengan perkhidmatan seks pelacur.

“Tidak selayaknya pelacur disamakan tarafnya dengan seorang isteri dan ketaatan seorang isteri tidak seharusnya diukur kemampuan seksnya kepada suami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor, Datin Paduka Rakibah Abd Manap, berkata, golongan isteri tidak perlukan kelab itu bagi memberi bimbingan kerana ia boleh mengelirukan.
Berita Harian Online | Kelab Taat Suami galak poligami

No comments:

Post a Comment