Monday, June 13, 2011

Lima pemimpin ditukar



KUALA LUMPUR – Lima Pesuruhjaya negeri ditukar setelah Jawatankuasa Pas Pusat selesai bermesyuarat buat kali pertama petang semalam yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Muktamar Pas ke-57 baru-baru ini.

Lima negeri yang bertukar kepimpinan adalah Selangor, Dr Abd Rani Osman menggantikan Datuk Dr Hasan Ali; Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menggantikan Datuk Harun Taib dan Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani menggantikan Zulkifli Mohamad Omar.

Dua negeri lagi adalah Melaka, Adli Zahari menggantikan Abdul Ghani Abdul Rahman dan Sabah iaitu Aminuddin Alim menggantikan Mohamad Abdullah.

Bagi Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali dikekalkan sebagai Setiausaha Agung manakala Datuk Abd Halim Abd Rahman dilantik menjadi Bendahari Agung. Jawatan Ketua Penerangan pula diberi kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dr Mohd Hatta Ramli menjadi Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

Pada sidang media selepas itu, Hadi mengumumkan terdapat tujuh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tambahan yang dilantik untuk penggal 2011-2013 kali ini.

“Tujuh mereka yang dilantik adalah Nasharudin Mat Isa, Idris Ahmad, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Zulkefly Mohamad Omar.

“Insya-Allah semua mereka akan menerima jawatan ini dan tugas mereka akan bermula sejurus selepas Setiausaha Agung menyerahkan surat tauliah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan negara berkebajikan Pas hanyalah topeng untuk mendapatkan undi bukan Islam, Hadi berkata kenyataan tersebut datangnya dari seorang yang ‘tidak membaca’.

Menurutnya, kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai negara berkebajikan yang dibawa Pas jelas membuktikan bahawa pemimpin mereka ‘kepanasan’ kerana bimbang rakyat tidak lagi menyokong mereka.

“Bagi peluang Pas memerintah selama satu penggal, kita akan buktikan apa itu negara berkebajikan, kita akan hapuskan banyak cukai persendirian tetapi akan tingkatkan cukai daripada yang kaya,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment