Wednesday, June 8, 2011

Mat Sabu senjata lawan UMNO: Hadi

KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menganggap Mohamad Sabu yang memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-57, Sabtu lalu, adalah senjata utama parti itu untuk menyerang UMNO menjelang pilihan raya umum akan datang.

Berikutan itu, beliau memberi amaran kepada UMNO supaya tidak memperlekehkan kemenangan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
“Wakil Muktamar menganggap Mat Sabu adalah senjata PAS untuk menyerang UMNO. Walau apapun tanggapan UMNO terhadap Mat Sabu, kita menganggap berlainan,” katanya selepas mengunjungi Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, di kediaman Menteri Besar Kelantan, JKR 10, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemenangan Mat Sabu yang dikatakan memberi peluang kepada UMNO untuk meraih undi berbanding dua calon lain, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mat Sabu yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat memperoleh 420 undi menewaskan bekas penyandang Timbalan Presiden, Nasharudin yang memperoleh 224 dan Tuan Ibrahim (Pesuruhjaya PAS Pahang), 399 undi.

Jawatan Naib Presiden juga dikuasai bukan ulama apabila Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar diisytiharkan menang pada pertandingan enam penjuru.

Dalam ucapannya pada muktamar berkenaan, Abdul Hadi buat pertama kali menegaskan belum tiba masanya parti itu menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangannya selama ini, sebaliknya mahu memulakan pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan pakatan pembangkang.
Berhubung ucapannya itu, Abdul Hadi menafikan dasar itu diperkenalkan kerana beliau bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri seperti didakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Saya bercita-cita mahu menyelamatkan Malaysia dan bukannya menjadi Perdana Menteri," katanya.

Beliau juga turut menafikan perubahan dasar daripada menegakkan negara Islam kepada negara berkebajikan, menyebabkan ahli parti itu kecewa, malah mendakwa ahli menyokong sebulat suara.

"Tidak ada yang bangkang, mereka menerima sebulat suara," katanya.
Berita Harian Online | Mat Sabu senjata lawan UMNO: Hadi

No comments:

Post a Comment