Friday, June 3, 2011

Negara kini ada 32,979 doktor


MELAKA: Negara kini memiliki seramai 32,979 doktor perubatan dengan nisbah setiap seorang untuk 857 populasi sehingga tahun lalu, berbanding seorang bagi setiap 1,490 populasi kira-kira 10 tahun lalu.


Daripada bilangan itu, kira-kira 22,429 atau 68 peratus daripadanya berkhidmat dalam sektor awam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata perkembangan itu memberi keyakinan kepada pihaknya untuk mencapai sasaran mengurangkan nisbah berkenaan kepada 400 bagi seorang doktor pada 2020.
“Sasaran ini dijangka dapat dicapai seiring dengan pertambahan jumlah institusi perubatan dan kuota pengambilan pelajar jurusan perubatan di institusi pendidikan yang menawarkan program itu. Sehingga Disember 2010, negara mempunyai 33 institusi pendidikan perubatan berbanding 10 pada 2000.

“Sebanyak 11 daripadanya adalah milik kerajaan, manakala 22 lagi di bawah kendalian swasta. Majlis Perubatan Malaysia (MMA) juga mengiktiraf 371 ijazah perubatan yang ditawarkan di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pelajar Perubatan Antarabangsa Malaysia (MIMSC) 2011 kali ketiga di Kolej Perubatan Melaka-Manipal (MMMC) di sini, semalam.

Hadir sama Pegawai Eksekutif MMMC, Prof Datuk Dr Abdul Razzak Mohd Said dan Pengerusi Penganjur MIMSC 2011, Vincent Khor Wei Sheng.
Dr Hasan berkata, selain sasaran kadar nisbah berkenaan, kementerian turut menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan pengagihan doktor perubatan klinik di kawasan luar dan dalam bandar yang masih rendah.

Katanya, di Sabah dan Sarawak misalnya, kebanyakan klinik masih dikendalikan pembantu pegawai perubatan.

“Pada tahun lalu, daripada 19,429 doktor di bawah kementerian, hanya 1,339 doktor perubatan berkhidmat di Sabah sementara di Sarawak pula 1,254 doktor,” katanya.
Berita Harian Online | Negara kini ada 32,979 doktor

No comments:

Post a Comment