Monday, June 6, 2011

Penyerang anggota JAT

JAKARTA: Polis semalam berkata, lelaki bersenjata yang menembak mati dua polis di Sulawesi Tengah adalah anggota kumpulan pelampau yang diasaskan oleh Abu Bakar Bashir.

“Mereka dipercayai anggota Jemaah Ansharut Tauhid (JAT) yang menjalani latihan atau persiapan untuk melancarkan tindakan ganas di wilayah itu,” kata jurucakap polis, Anton Bachrul Alam kepada wartawan di Jakarta.


“Rancangan masa depan mereka termasuk mencuri senjata api dari pasukan polis khas, Brimob, di Sulawesi Tengah, merompak bank dan beberapa kampung,” katanya.

Dua lelaki sudah ditahan berhubung serangan yang membabitkan empat penunggang motosikal terhadap polis yang mengawal sebuah bank di daerah Palu bulan lalu. Dua anggota kumpulan itu dibunuh dalam serangan di daerah Paso, kelmarin, kata Anton sementara tiga lagi masih diburu.


Keganasan antara penduduk Islam dan Kristian di Paso antara 2000 dan 2001 meragut kira-kira 1,000 nyawa dan ia berterusan selama beberapa tahun.


Kejadian menyerang polis itu adalah keganasan terbaru di Indonesia selepas rancangan untuk meletupkan sebuah gereja di Jakarta sempena sambutan Good Friday tidak lama lalu dan kempen bom buku yang mensasarkan penganut Islam berfahaman sederhana serta pegawai antikeganasan.

Abu Bakar, 72, dituduh memberikan dana lebih RM186,000 kepada sebuah kumpulan, al-Qaeda Aceh yang merancang melakukan serangan di Indonesia.


Pendakwa raya memohon supaya beliau dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Polis berkata, JAT yang diasaskan pada 2008 adalah kumpulan utama dalam kempen keganasan di Indonesia ketika ini.


Indonesia berusaha menangani ancaman militan Islam yang menolak sistem sekular dan demokratik di negara itu. - AFP

myMetro | Penyerang anggota JAT

No comments:

Post a Comment