Monday, June 6, 2011

Rakyat Yaman harap kepergian presiden berkekalan

TERUS MEMBANTAH: Para pembantah antipemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh melaungkan slogan-slogan sambil membawa gambar presiden Yaman itu yang telah diconteng dalam satu bantahan menggesa penggulingannya di Sanaa, kelmarin. -- Foto REUTERS

Keadaan dikhuatiri cetus rampasan kuasa tentera

SANAA: Rakyat Yaman semalam meraikan apa yang mereka harapkan sebagai pemergian berkekalan Presiden Ali Abdullah Saleh.

Namun, kegembiraan itu dicemari oleh kejadian tembak-menembak dan letupan yang kedengaran di Sanaa dan pertempuran sengit di bandar Taiz, kira-kira 200 kilometer ke selatan ibu kota Yaman itu.

'Orang ramai bimbang terhadap apa yang akan berlaku selepas pemergian Saleh. Mereka amat bimbang terhadap kemungkinan berlakunya satu rampasan kuasa atau persaingan kuasa dalam pasukan tentera,' kata Encik Farouq Abdel Salam, seorang penduduk di Aden, sebuah bandar pelabuhan di selatan Yaman.

Pemangku Presiden Yaman, Encik Abduraboo Mansur Hadi, telah bertemu dengan para komander tenteranya, termasuk anak dan anak saudara Encik Saleh yang berkuasa, yang masih berada di Yaman.

Encik Hadi juga bertemu dengan seorang duta besar Amerika Syarikat.

Kebimbangan semakin meningkat bahawa Yaman - yang kini sudah pun berada di ambang kemusnahan kewangan dan menjadi tempat persembunyian cabang kumpulan militan Al-Qaeda - mungkin menjadi negara gagal yang mengancam rantau pengeksport minyak utama dunia dan keselamatan sejagat.

Encik Saleh telah menjengkelkan sekutunya di Amerika Syarikat dan Arab Saudi - yang pernah melihat beliau sebagai rakan utama dalam usaha memerangi kumpulan 'Al-Qaeda di Semenanjung Arab' yang berpangkalan di Yaman - dengan berulang kali mengingkari satu perjanjian baginya meletak jawatan dan mendapat imuniti, yang diusahakan oleh negara-negara Teluk, khususnya Arab Saudi.

Pembantu antipengganasan Presiden Barack Obama kelmarin bertemu dengan Encik Hadi, kata Rumah Putih tanpa memberikan butirannya.

Washington telah menggesa Encik Saleh supaya meletakkan jawatannya.

Sementara itu, para pembantah muda di Yaman semalam meraikan apa yang mereka sifatkan sebagai kejatuhan rejim negara itu yang dipimpin oleh Encik Saleh, selepas beliau meninggalkan negara itu bagi mendapatkan rawatan perubatan di Arab Saudi.

'Hari ini (semalam), Yaman baru dilahirkan,' kata puluhan belia di Dataran Universiti Sanaa, yang digelar sebagai 'Dataran Perubahan' kerana menjadi tempat asal tercetusnya pemberontakan terhadap pemerintahan Encik Saleh sejak Januari lalu.

'Inilah dia, rejim ini sudah jatuh,' laung yang lain.

Bagaimanapun, seorang lelaki bersenjata dan empat askar daripada pasukan elit Pengawal Republikan Yaman, yang dipimpin oleh anak lelaki Encik Saleh, terbunuh dalam satu pertempuran di Taiz, semalam, kata para saksi. -- Reuters, AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment