Wednesday, July 13, 2011

AS pertahan keputusan

WASHINGTON 12 Julai - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam mempertahankan keputusannya yang menggantung bantuan ketenteraan bernilai AS$800 juta (RM2.4 bilion) kepada Pakistan dengan menyatakan negara itu perlu menjalankan usaha yang lebih untuk memerangi militan.

"Berhubung bantuan ketenteraan kami, kami tidak bersedia untuk meneruskannya melainkan kami dapat melihat langkah tertentu diambil," kata jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland.

Katanya, AS bersedia meningkatkan kerjasama dalam program menentang keganasan serta pemberontakan.

Nuland yang merujuk kepada tindakan Islamabad yang mahu 100 penasihat tentera AS meninggalkan Pakistan sekali gus menghentikan latihan ketenteraan di negara itu berkata, 'AS tidak dapat menuruti permintaan Pakistan tersebut'.

Sementara itu, enam militan maut apabila sebuah pesawat tanpa juruterbang AS membedil sebuah rumah di barat laut negara ini hari ini, kurang 12 jam selepas serangan pertama dilancarkan, kata pegawai risikan.

Serangan tersebut menyusul selepas pentadbiran Presiden Barack Obama mengumumkan penggantungan lebih satu pertiga bantuan ketenteraan AS ke Pakistan ekoran hubungan yang semakin tegang.

Menurut pegawai risikan, pesawat AS itu menembak empat misil ke arah rumah tersebut yang terletak di kampung Dremala di wilayah puak Waziristan Selatan.

Malam tadi, sebuah lagi pesawat tanpa juruterbang AS melancarkan misil ke sebuah rumah di kampung Gorvak, Waziristan Utara yang menyebabkan 12 militan maut.

China hari ini turut menyatakan sokongan terhadap Pakistan dan berjanji akan terus menyalurkan bantuan bagi meningkatkan kehidupan rakyat serta ekonomi negara tersebut.

"Pakistan merupakan sebuah negara penting di Asia Selatan. Kestabilan dan pembangunan di Pakistan berkait rapat dengan keamanan serta kestabilan Asia Selatan," kata jurucakap Kementerian Luarnya, Hong Lei. - AFP/AP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment