Monday, July 18, 2011

Hanya kuning ada logo Bersih dianggap salah

SEREMBAN 17 Julai – Orang ramai tidak perlu bimbang untuk memakai pakaian berwarna kuning asalkan tidak menggunakan lambang atau logo Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kerana ia adalah satu pertubuhan haram.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, mereka yang berpakaian kuning dan mempunyai lambang atau logo itu boleh ditahan pihak polis kerana arahan itu sudah lama dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Apabila arahan itu dikeluarkan, ia menjadi tanggungjawab polis untuk menguatkuasakan undang-undang yang bersangkut dengan sesuatu pertubuhan haram. Itu sebabnya kita tahan mereka berpakaian mempunyai logo atau lambang Bersih.

“Ingin saya jelaskan di sini, tidak salah jika orang ramai hendak memakai pakaian berwarna kuning. Apa yang tidak boleh adalah pakaian yang mempunyai logo atau lambang menyokong pertubuhan haram itu,” katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Skim Kepolisan Komuniti dan Crime Awareness Team (CAT) di Dataran Nilai di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dan timbalannya, Datuk Abd. Manan Mhd. Hassan.

Tegas Khalid, mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan larangan berkenaan, boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk diputuskan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid juga menjelaskan polis bersedia menerima sebarang tindakan saman yang dikemukakan oleh individu yang ditahan selepas terlibat dengan perhimpunan haram 9 Julai lalu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment