Thursday, July 7, 2011

Jutawan kosmetik tunjuk cek RM1 juta diberi peguam

DATUK Sosilawati Lawiya pernah menunjukkan cek bernilai RM1 juta diterimanya daripada bekas peguam N Pathmanabhan di Banting pada jam 5 petang petang 3 Ogos tahun lalu kepada rakan baiknya yang turut sama menemaninya mengambil cek berkenaan daripada tertuduh pertama.

Ahli perniagaan, Junaidah Ismail, 52, berkata sebelum itu beliau bersama Sosilawati dan pemandu rakannya, Kamaruddin Shamsuddin menunggu selama setengah jam di luar pejabat tertuduh pertama, sebelum Pathmanabhan tiba menaiki kereta Mercedes Brabus.
“Saya hanya menunggu dalam kereta bersama-sama Kamaruddin, manakala Sosilawati turun sebentar dan mengambil sesuatu daripada Pathmanabhan.
“Sosilawati pegang cek. Dia tunjuk kepada saya di belakang dan berkata, ‘Nah Kak Ju tengok, aku dapat payment (bayaran). Saya nampak cek itu bernilai RM1 juta. Ketika nak pulangkan, saya ternampak ia post dated cheque (cek tertunda).

“Saya tanya, Ti (Sosilawati), kenapa September, sekarang Ogos dan beliau kata, tak mengapa, kita dah bincang,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Idham Badul Ghani.

Junaidah yang sudah 28 tahun mengenali dan berkawan rapat dengan Sosilawati berkata, beliau pertama kali bertemu dengan Pathmanabhan kira-kira tiga tahun lalu ketika rakannya itu mengajaknya menemaninya bertemu dengan tertuduh pertama dan dua lelaki dikenali sebagai Datuk Suhaimi dan Sabri di Hotel Pan Pacific KLIA, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berbincang mengenai urusan membabitkan tanah di Pulau Pinang.

Katanya, kali terakhir bertemu dengan Sosilawati pada pertemuan pada 3 Ogos itu dan hanya berhubung melalui telefon selepas itu.
Idham: Selepas 3 Ogos awak tidak berjumpa?

Junaidah: Selepas 3 Ogos, beliau (Sosilawati) selalu telefon dan bercerita mengenai pejabat serta anak. Bagaimanapun, pada 29 Ogos, beliau telefon dan bertanya khabar. Kami bersembang mengenai persiapan raya dan tanya sama ada saya pergi solat Tarawih malam itu, tapi saya beritahu, saya tidak sihat.

Dia kata, “Esok aku nak ke Banting. Kak Ju nak ikut?” Saya kata, tak sihat dan beliau suruh saya berehat. Itu perbualan terakhir dengannya.

Ditanya peguam Pathnamanbhan, Manjeet Singh Dhillon sama ada beliau mengenali siapa Datuk Abdul Rahman Palil, katanya, beliau mengetahui lelaki itu wakil rakyat di Selangor dan Sosilawati pernah memberitahunya Abdul Rahman juga terbabit dalam penjualan tanah.

Saksi pendakwaan ke-15, Sabrina Adnan, 32, berkata kali terakhir beliau bercakap dengan suaminya, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, kira-kira jam 7.50 malam pada 30 Ogos lalu, apabila mangsa menghubunginya melalui talian telefon bimbit.

Menjawab soalan TPR Ishak Mohd Yusof, katanya, Ahmad Kamil bercakap dalam keadaan tergesa-gesa dan tersekat-sekat.

“Suami saya menyatakan beliau tidak akan balik selama tiga hari. Saya tanya kenapa. Beliau kata, ada masalah. Kak Wati, beliau membahasakan Sosilawati sebagai Kak Wati, tengah menangis dan ‘I nak tolong beliau’.

“Saya tanya mengapa, beliau kata, Kamal, driver (pemandu) Sosilawati dah ugut beliau (Sosilawati) untuk sebar gambar tak senonoh. Beliau nak selesaikan masalah ini selama tiga hari. Saya tanya ke mana, beliau tak jawab. Beliau tanya, “Ok ke jaga anak-anak”. Saya kata ok. Beliau kata kalau ok tak apalah,” katanya.

Sabrina berkata, beberapa jam selepas menerima panggilan itu, beliau ada menelefon suaminya sebanyak empat atau lima kali, tetapi panggilannya disambungkan ke peti simpanan suara.

Katanya, selepas 30 Ogos, beliau menelefon cuba menghubungi suaminya setiap hari, tetapi tidak berjaya, manakala laporan polis mengenai kehilangan suaminya hanya dibuat pada 3 September. Berita Harian Online | Jutawan kosmetik tunjuk cek RM1 juta diberi peguam

No comments:

Post a Comment