Thursday, July 7, 2011

Kes pembunuhan Sosilawaty Lawiya: Ibu ajak Erni jumpa Pathma di Banting



AKHTAR bersama barisan peguam  memeriksa BMW X5 milik Sosilawati  di  Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
AKHTAR bersama barisan peguam memeriksa BMW X5 milik Sosilawati di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Sosilawati hantar SMS pesan anak jangan benar Kamal masuk rumah

SHAH ALAM: Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, beliau diajak menemani ibunya ke Banting untuk menemui peguam bernama 'Pathma' pada hari jutawan kosmetik itu dan tiga rakan dilaporkan hilang.
Katanya, ibu meminta beliau berbuat demikian jika pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin yang dipanggil ‘Uncle Kamal’ tidak hadir ke pejabat pada 30 Ogos tahun lalu.
“Ibu beritahu beliau akan ke Banting dengan pegawai bank, Noorhisham Mohamad dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim untuk berjumpa Pathma atas urusan mempercepatkan tarikh cek ke pada tarikh sebelum perayaan Aidilfitri pada 11 September 2010,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Ishak Mohd Yusoff.

Bagaimanapun, katanya, ibunya menghubunginya semula pada jam 3 petang hari sama dan meminta beliau mengikutnya ke Banting jika Kamal tidak datang.

“Kamal kemudian muncul di pejabat pada jam 4 petang. Ibu dalam keadaan nak cepat sebab banyak urus niaga di pejabat yang perlu diuruskan dan ibu serah pada saya. Beliau tinggalkan pejabat bersama Kamal menaiki kereta BMW X5 dan hendak berbuka puasa di Banting.

Katanya, Ahmad Kamil ada menelefonnya pada jam 7 malam dan memberitahu beliau yang memandu secara berasingan sedang mengikuti Sosilawati di kawasan yang mempunyai pokok kelapa sawit.
Erni Dekritawati berkata, beliau kemudian pergi berbuka puasa dengan kawan dan ibunya ada menelefonnya, namun beliau tidak menyedari panggilan itu kerana telefon bimbitnya ada dalam beg.

Katanya, beliau tidak sedar berapa banyak panggilan tidak dijawab, tetapi ibunya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) selepas itu tertulis: “Jangan bagi Kamal masuk rumah, dia tangkap gambar mak. Kalau apa-apa hubungi Bishah.”

“Saya menghubungi ibu semula berulang kali, tapi tidak berjawab dan terus masuk pesanan suara. Saya juga hubungi Kamal, Ahmad Kamil dan Noorhisham tapi tidak berjawab juga,” katanya.

Katanya, selepas memeriksa kereta Noorhisham masih berada di Seksyen 7, Shah Alam dan dalam tempoh kurang 24 jam kehilangan ibunya, beliau minta adiknya, Erni Erinawati Sofia, 22, ke Balai Polis Dang Wangi membuat laporan.

Beliau berkata, pada 31 Ogos 2010, bapanya Buhari Mohamed membawa mereka ke Banting sehari suntuk untuk mencari peguam Pathma dan pejabatnya, tetapi gagal.

Disoal TPR Edris Zainuddin, Erni Dekritawati mengecam gambar kereta BMW milik Ahmad Kamil dan BMW X5 milik ibunya, yang mana beliau menjumpai dua bungkusan besar kerepek dalam bonet ketika menerima kereta ibunya itu beberapa bulan selepas kejadian.

Terdahulu, Erni Dekritawati berkata, beliau tidak percaya Kamal memasang kamera tersorok di dalam bilik air ibunya.

Katanya, beliau syak wasangka dengan SMS diterima daripada ibunya yang memintanya menghalang Kamal daripada memasuki rumah mereka kerana beliau ada mengambil gambar tidak elok ibunya.

“Saya berasa pelik dengan SMS itu kerana tidak pernah sebelum ini ibu dan Kamal bergaduh sampai begitu sekali. Saya tak rasa Kamal buat macam itu, betulkah dia ambil gambar mak?” katanya.

Disoal Ishak, Erni Dekritawati berkata, beliau ke bilik ibunya dan membuat pemeriksaan, namun tiada kamera tersorok ditemui.

Perbicaraan bersambung hari ini.
Berita Harian Online | Kes pembunuhan Sosilawaty Lawiya: Ibu ajak Erni jumpa Pathma di Banting

No comments:

Post a Comment