Saturday, July 16, 2011

'Kapit jering' akibatkan kegagalan buah pinggang

KOTA BHARU 15 Julai - Amaran kepada penggemar buah jering! Memakan buah itu secara berlebihan boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang.

Ketua Unit Nefrologi, Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr. Sukeri Muhamad berkata, keadaan yang dikenali masyarakat tempatan sebagai 'kapit jering' itu berlaku apabila seseorang memakan buah jering mentah dalam kuantiti banyak.

Katanya, individu yang sihat mungkin mendapati buah pinggang mereka terpaksa dirawat menggunakan kaedah dialisis akibat daripada memakan buah jering secara berlebihan.

"Saya belum pernah tengok kes ia (buah jering) mengakibatkan buah pinggang menjadi rosak terus, tetapi biasanya buah pinggang individu yang terkena 'kapit jering' akan berhenti berfungsi sehingga seminggu lamanya.

"Jering boleh dimakan tetapi bukan dalam kuantiti yang banyak, namun bagi pesakit buah pinggang kronik kita tidak galakkan langsung memakan jering," katanya ketika ditemui pada Forum Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Ke-9 di sini, hari ini.

Beliau berkata, individu yang tiba-tiba mengalami air kencing berdarah, tidak kencing langsung dan sakit perut berpanjangan mestilah memberitahu pihak hospital sekiranya mereka telah memakan jering bagi memastikan rawatan diberi adalah tepat.

"Jika tidak dimaklumkan, mungkin doktor akan tersilap membuat diagnosis seperti menjangka mereka mengalami masalah apendiks," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah NKF, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaherberkata, risiko 'kapit jering' berlaku kerana sejenis asid dipanggil djengkolic acid dalam buah jering.

Beliau yang merupakan pakar perunding buah pinggang terkemuka negara berkata, kandungan asid tersebut boleh dikurangkan melalui kaedah merebus buah jering sehingga masak.

"Asid inilah yang merosakkan buah pinggang buat sementara, kalau direbus betul-betul, risiko 'kapit jering' dapat dikurangkan," nasihatnya.

Lebih 300 hadirin terdiri daripada pesakit, keluarga dan pengusaha pusat dialisis hadir pada program itu yang julung kalinya diadakan di negeri ini.

Forum itu membincangkan peranan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memberi bantuan kewangan serta peluang pekerjaan kepada pesakit buah pinggang.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment