Saturday, July 16, 2011

Rupert Murdoch tunduk kepada tekanan



Rupert Murdoch (kiri) bersama anak lekakinya, James.


LONDON 15 Julai - Jutawan media, Rupert Murdoch dan anak lelakinya, James tunduk kepada tekanan dan bersetuju untuk memberi keterangan kepada ahli Parlimen Britain, ketika siasatan mengenai skandal menggodam telefon merebak ke Amerika Syarikat (AS) dengan pembabitan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Murdoch dan anaknya, semalam mengubah keputusan mereka yang sebelum ini enggan memberi keterangan kepada sebuah jawatankuasa Parlimen pada Selasa ini.

Skandal itu telah memaksa Murdoch, pengasas syarikat media global, News Corp. menutup akhbar tabloid dalam kumpulan itu, News of the World dan merosakkan percubaan beliau untuk mengambil alih syarikat televisyen satelit, BSkyB.

Dalam pada itu, penyiasat AS berkata, mereka sedang menyiasat dakwaan yang dibuat pada Isnin lalu oleh akhbar tabloid The Mirror bahawa kakitangan News Corp. mungkin telah menjadikan perbualan telefon mangsa serangan 11 September, 2001 sebagai sasaran.

Murdoch, 80, semalam cuba meredakan kebimbangan pemegang saham News Corp., dengan memberitahu akhbar Wall Street Journal bahawa krisis itu sedang ditangani 'dengan begitu baik menerusi segala langkah yang dapat diambil'.

Katanya, kerosakan ke atas News Corp. di Britain 'bukanlah sesuatu yang tidak dapat diatasi' dan sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi 'menyiasat setiap dakwaan salah laku'.

Awal semalam, polis Britain menangkap bekas pengarang eksekutif News of the World, Neil Wallis tetapi kemudian terpaksa mengaku pasukan Scotland Yard sendiri pernah mengambil beliau sebagai penasihat, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai rasuah polis dalam kes itu.

Murdoch dan anaknya mengubah pendirian hanya lima jam selepas jawatankuasa khas Parlimen mengenai media secara rasmi memanggil mereka untuk memberi keterangan, setelah menerima surat daripada dua beranak itu yang menyatakan mereka tidak dapat hadir tanpa memberi sebarang sebab. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment