Wednesday, July 27, 2011

Lebih 100,000 peringati mangsa serangan



Hampir 150,000 orang berhimpun do Oslo, semalam sambil membawa jambangan bunga sebagai memperingati mangsa serangan seorang fanatik Kristian di minggu lalu. - afp


OSLO 26 Julai - Lebih 100,000 penduduk Norway membanjiri tengah Oslo, semalam untuk memperingati mangsa-mangsa serangan ganas oleh seorang fanatik Kristian pada minggu lalu.

Perhimpunan itu berlangsung hanya beberapa jam selepas suspek, Anders Behring Breivik memberitahu mahkamah, dia mempunyai rangkaian rakan subahat yang bergerak aktif.

Breivik, 32, yang telah mengaku bertanggungjawab melakukan keganasan tersebut, bagaimanapun tidak mengaku bersalah di mahkamah dan diperintah ditahan reman selama lapan minggu sementara siasatan mengenai serangan bom dan senjata api yang meragut 76 nyawa itu diteruskan.

Polis semalam menurunkan angka kematian daripada 93 kepada 76 orang selepas mengaku tersilap mengira mangsa yang maut dalam tembakan di pulau Utoya.

Ketika beribu-ribu rakyat Norway yang membawa bunga berarak perlahan-lahan di pusat bandar sebagai tanda kesedihan dan sokongan terhadap mangsa, bapa Breivik sendiri berkata, anaknya itu sepatutnya membunuh diri dan bukan melepaskan kemarahan terhadap orang tidak bersalah.

Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg mengaku negara ini akan mengalami kesan berkekalan daripada letupan bom kereta di Oslo dan tembakan rambang di sebuah pulau berdekatan pada Jumaat lepas, tetapi berjanji untuk memastikan Norway akan terus menjadi sebuah masyarakat terbuka.

"Kejahatan boleh membunuh seseorang tetapi tidak mampu membunuh sebuah bangsa," katanya kepada orang ramai.

Sementara itu ketua Perkhidmatan Keselamatan Polis (PST) Norway, Janne Kristiansen berkata, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran mengenai Breivik pada Mac lalu kerana dia didapati membeli bahan kimia dari sebuah firma Poland, tetapi insiden itu dianggap terlalu kecil untuk mewajarkan tindakan susulan.

Breivik berharap untuk menggunakan kehadiran pertamanya di mahkamah sebagai platform bagi menjelaskan tindakannya kepada orang ramai, tetapi hakim memutuskan sebutan kes itu diadakan secara tertutup dan beliau turut menghalang suspek daripada memakai uniform di mahkamah.

Hakim Kim Heger berkata, Breivik akan diletakkan dalam tahanan seorang diri pada separuh pertama tempoh tahanan reman selama lapan minggu itu.

Heger berkata, Breivik yang menganggap dirinya sebagai pejuang salib memberitahu mahkamah dia mahu penjajahan orang Islam di Eropah ditamatkan.

Sebelum serangan itu, Breivik menulis sebuah manifesto setebal 1,500 muka mendakwa dirinya sebagai satu daripada 80 'unit berani mati solo' yang direkrut di seluruh Eropah Barat untuk menggulingkan mana-mana kerajaan yang bertoleransi terhadap Islam. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment