Wednesday, July 27, 2011

Lebih baik guna dakwat; Nik Aziz


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya bersetuju dengan pendirian Pas Pusat menolak penggunaan sistem biometrik dalam pilihan raya.

Beliau berkata, kenyataan beliau tiga hari lalu menyokong biometrik dengan syarat, iaitu selagi ia tidak menimbulkan keraguan bagi menjamin pilihan raya bersih dan adil.

“Kenyataan saya dua hari lepas dengan syarat, saya kata benda ini kalau timbul keraguan kena tolak dan kebetulan, alhamdulillah kelmarin terdapat kes pengundi bertindih di Selangor.

“500 daripadanya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), itu baru selangor tak termasuk Kelantan dan negeri-negeri lain, jadi menampakkan memang meragukan,” katanya.

Katanya, penggunaan dakwat seperti yang dicadangkan sebelum ini lebih baik dan selagi biometrik meragukan, ia mesti ditolak.

“Sekiranya UMNO atau Barisan Nasional jadi pembangkang...maka dia akan senyap ke atau bising berhubung nama bertindih ni, dia tetap tidak akan senang juga,” katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Komplek Kota Darul Naim, di sini semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, sistem biometrik terdedah kepada manipulasi pihak pengendali kerana hanya segelintir sahaja yang mempunyai kepakaran sistem tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, penyerahan 500 nama itu merupakan senarai pertama pengundi bertindih iaitu satu nama keluar dua atau tiga kali sebagai pendaftar yang sudah pastinya boleh keluar mengundi lebih dari sekali.

“Pas Selangor mengenal pasti sebahagian orang itu dan orang itu mengaku namanya ada tiga kali dalam senarai. Kita ada banyak senarai, cuma kita mahu melihat apa tindak balas SPR dan yang paling penting, mengapa boleh berlaku pendaftaran bertindih yang mengundang pengundian bertindih?

“Cara paling mudah untuk mengelak masalah ini ialah dengan menggunakan dakwat, biometrik hanya boleh mengesahkan pengundi dengan pengenalan ibu jari, selepas itu mereka yang bertindih nama boleh mengundi lagi ditempat lain, biometric tidak menghalang orang itu mengundi berkali-kali,” katanya.

Husam berkata, dengan kesan dakwat dia jari, individu itu tidak boleh mengundi lagi.

Pas Pusat katanya, bukan sahaja akan menyerahkan senarai itu kepada SPR malah akan mengadakan persidangan antarabangsa untuk mendedahkan kepincangan tersebut selain mempamerkan senarai nama itu di seluruh negara.

Ketika diminta mengulas kenyataan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin yang mengatakan penggunaan dakwat sesuai untuk negara kurang maju, Husam berkata, apa guna penggunaan teknologi moden kalau penipuan dapat disahkan.

”Amalan kurang maju tidak apa asalkan boleh mengelak penipuan, kita perlu mengakui wujudnya pertindihan nama secara besar-besaran dalam daftar pemilih yang menyebabkan pengundian meragukan.

SH

No comments:

Post a Comment