Sunday, July 10, 2011

Penduduk Indonesia dibenar saman ExxonMobil


WASHINGTON 9 Julai - Seramai 11 penduduk kampung Indonesia dibenar mengemukakan saman terhadap syarikat minyak gergasi, ExxonMobil berhubung dakwaan pembunuhan dan penderaan oleh pasukan keselamatan yang melindungi projek gas syarikat itu, kata hakim Amerika Syarikat (AS) semalam.

Keputusan oleh Mahkamah Persekutuan Washington itu membatalkan keputusan mahkamah pada 2009 yang menyatakan rakyat Indonesia tersebut tidak mempunyai hak untuk menyaman ExxonMobil di AS.

Penduduk Indonesia berkenaan memfailkan saman pada 2001 kerana mendakwa askar Indonesia yang bekerja untuk ExxonMobil melakukan penderaan, merogol dan membunuh ketika melindungi projek gas di Aceh.

Mahkamah berkata, penduduk Indonesia dibenarkan mengemukakan saman tersebut di AS mengikut undang-undang 1789 dikenali sebagai Alien Tort Statute (Statut Salah Laku Asing).

"Tiada teks, sejarah atau tujuan di bawah undang-undang ini menyokong kekebalan syarikat korporat berhubung salah laku yang dilakukan oleh ejen-ejennya yang melanggar undang-undang negara,'' kata Hakim Judith Roger ketika membaca keputusan.

Defendan kes saman itu adalah ExxonMobil Corporation bersama dua anak syarikatnya, Mobil Corp. dan ExxonMobil Oil Corp. serta syarikat subsidiari di Indonesia, ExxonMobil Oil Indonesia. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment