Tuesday, July 26, 2011

Polis siasat tujuh laporan berhubung perhimpunan 9 Julai

KUALA LUMPUR: Susulan pelbagai tohmahan berkenaan keganasan dan kekerasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menyuraikan perhimpunan haram 9 Julai lalu, polis kini menyiasat tujuh laporan polis berkaitan isu berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima tujuh laporan polis berhubung tindakan anggota dan pegawai polis semasa perhimpunan terbabit diadakan.


Menurutnya, semua laporan itu kini disiasat secara profesional dan telus, termasuk berhubung dakwaan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang mengalami kecederaan di lutut akibat dirempuh kenderaan polis.

Beliau turut menegaskan, sekiranya siasatan mendapati semua laporan dibuat itu palsu mereka akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


“Sekiranya siasatan mendapati perkara diadukan dalam laporan polis tidak benar dan dibuat dengan niat buruk, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.


“Kami akan cadangkan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Acryl berkata, laporan lain turut disiasat berhubung kenyataan akhbar seorang peguam mendakwa terdapat cubaan membunuh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

myMetro | Polis siasat tujuh laporan berhubung perhimpunan 9 Julai

No comments:

Post a Comment