Wednesday, August 24, 2011

4 beradik bakal peroleh sijil lahir



Oleh Faizul Azlan Razak

2011/08/24

KUALA TERENGGANU: Kegembiraan jelas terpancar di wajah empat daripada lima beradik di Kampung Nibong Atas, Panji Alam di sini, apabila bakal memperoleh sijil kelahiran dan dapat mengikuti persekolahan seperti kanak-kanak seusia mereka.

Empat beradik itu, Norhidayah, 9; Nordiana, 8, Mohd Alif, 7, dan Mohd Syawal Mohammad Zaki, 5, selama ini hidup tanpa mempunyai surat kelahiran selepas kedua ibu bapa mereka dikatakan tidak mempunyai sijil perkahwinan yang sah.
Ibu kanak-kanak malang itu, Rohani Ngah, 33, berkata dia mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Zaki Othman, 38, di Kuala Lumpur pada 2000 walaupun mendapat tentangan keluarga dan tidak mempunyai sijil nikah.
Katanya, selepas mendirikan rumah tangga dan melahirkan empat cahaya mata, baru dia menyedari kesulitan timbul apabila keempat-empat anaknya tidak dapat didaftarkan untuk mendapat sijil kelahiran.

Bagaimanapun, memandangkan permasalahan ini semakin kusut, dia kemudian bernikah semula pada 2005, bersama suaminya, Mohammad Zaki dan dapat mendaftar kelahiran anak bongsunya Nur Fatihah yang kini berusia tiga tahun untuk mendapatkan sijil kelahiran.

Rohani berkata, lebih malang anak ketiganya yang berusia tujuh tahun tidak mempunyai surat perubatan bagi memudahkannya untuk memohon sijil kelahiran.

Beliau berterima kasih kepada Biro Aduan UMNO Kuala Terengganu, yang sudi datang membantu keluarganya selepas mendapat maklumat daripada penduduk kampung mengenai pemasalahan yang dialaminya. 
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki berkata, selepas menerima aduan berhubung perkara berkenaan, pihaknya dengan bantuan Biro Aduan Kuala Terengganu bertindak menjalankan siasatan perkara sebenar.

Katanya, pihaknya segera mengunjungi keluarga terbabit dan meminta dokumen perubatan kanak-kanak berkenaan untuk proses pendaftaran, namun sedikit kesukaran berlaku apabila anak ketiga, Mohd Syawal tidak mempunyai sebarang surat sokongan perubatan.

"Jika nak diikutkan, saya mahu menyelesaikan perkara ini sebelum Aidilfitri, tetapi masa tidak mengizinkan kerana perlu menyelesaikan urusan mendapatkan bukti surat sokongan perubatan Mohd Syawal terlebih dulu.

"Saya berjanji akan menyelesaikan masalah empat beradik ini selewat-lewatnya selepas Aidilfitri bagi urusan pendaftaran dan pihak kami juga melakukan perbincangan dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi menyekolahkan kanak-kanak malang ini," katanya ketika mengunjungi keluarga terbabit dan menghulurkan sumbangan di rumahnya semalam. -kosmo

No comments:

Post a Comment