Monday, August 1, 2011

China kenakan larang liputan nahas kereta api

HONG KONG 31 Julai - China menguatkuasakan larangan sepenuhnya kepada media daripada membuat liputan nahas mengenai kereta api berkelajuan tinggi minggu lalu, memaksa akhbar-akhbar menghentikan penyiaran berita mengenainya.
Akhbar Sunday Morning Post melaporkan, pihak berkuasa penerangan China mengeluarkan larangan itu lewat Jumaat lalu, sekali gus mengharamkan semua liputan berkaitan nahas kecuali 'berita berbentuk positif atau maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa sahaja'.
Larangan itu dikuatkuasakan selepas media rasmi negara menyiarkan kritikan terhadap kerajaan yang jarang-jarang dibuat berhubung respons kepada nahas 23 Julai lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 40 penumpang serta mencederakan lebih 200 yang lain.
Media-media turut mempersoalkan keselamatan sistem jaringan pengangkutan kereta api berkelajuan tinggi di China.
"Selepas nahas ngeri pada 23 Julai lalu, pandangan umum asing dan dalam negara menjadikannya lebih rumit.
"Semua media tempatan termasuk akhbar, majalah dan laman web perlu meredakan laporan berhubung insiden berkenaan. Syarikat-syarikat media juga tidak dibenar menyiarkan sebarang laporan atau ulasan kecuali yang positif atau maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa," jelas arahan berkenaan.
Larangan tersebut merupakan yang kedua sejak nahas berkenaan selepas pihak berkuasa penerangan China melarang wartawan tempatan dari mewawancara pegawai perkhidmatan kereta api. - AFP
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment