Tuesday, August 9, 2011

'Dada saya seperti ditekan-tekan 10 orang dewasa'



IPOH 8 Ogos - "Dada saya seperti ditekan-tekan oleh 10 orang dewasa, tangan kanan tidak boleh bergerak. Saya hanya bergantung kepada tangan kiri mengorek lubang sepantas yang boleh bagi mendapatkan udara."
Demikian cerita Bah Anjang Besar Alang, 39, ketika ditanya saat dia tertimbus dalam tanah selepas kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata, Cameron Highlands, semalam.
Bah Anjang merupakan salah seorang daripada dua mangsa selamat dalam kejadian yang mengorbankan tujuh orang, kebanyakannya mempunyai talian persaudaraan.
Menurutnya, kejadian berlaku sangat pantas dan tolakan tanah tersebut bukan sahaja membuatkan dia terpelanting keluar dari rumah tetapi pitam seketika.
"Saya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah manakala isteri bersama lima anak dan seorang cucu berada di bahagian dapur.
"Sebelum terpelanting, saya ada terdengar bunyi pelik dan apabila sedar, keadaan sungguh gelap. Saya hanya mampu membuka mata kiri kerana mata kanan dimasuki tanah," katanya yang kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini..
Bah Anjang berkata, dia kemudian dikeluarkan oleh penduduk selepas tertimbus lebih 10 minit dan dihantar ke HRPB.
Kejadian tersebut menyebabkan Bah Anjang mengalami patah tulang bahu dan pinggul, selain luka di muka dan badan.
Isteri bersama lima anak dan seorang cucu tidak cedera kerana berada di bahagian dapur dan sebahagiannya telah berpindah ke rumah datuk mereka yang terletak tidak jauh dari situ.-utusan

No comments:

Post a Comment