Saturday, August 6, 2011

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: ‘Tiga kesan cap jari pada dua barang’

Penemuan pada alat SmartTAG, bekas pewangi dalam BMW milik peguam
SHAH ALAM: Pasukan dari Bahagian Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menemui tiga kesan cap jari pada dua barang ditemui dalam kereta BMW milik peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim pada 6 September tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-34, Pegawai Turus D10 Forensik IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Sheikh Zainal Abidin Sheikh Omar, 55, memberitahu mahkamah tiga kesan cap jari itu diambil daripada alat SmartTAG yang ada kad Touch n Go manakala satu lagi ditemui pada bekas pewangi jenis lavender ditemui dalam kereta ditinggalkan di Jalan SS12/1B, Subang Jaya, pada malam 6 September 2010 itu.

Ketika menjawab soalan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, beliau berkata, setiba di lokasi berkenaan yang terletak berhadapan Hotel Grand Dorsett, kenderaan itu dikawal anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang sudah meletakkan tali rentang polis di kelilingnya.
Katanya, beliau cuba membuka pintu BMW itu selepas kereta berkenaan diambil alih pasukan forensik tetapi ia berkunci dan dimaklumkan ada saudara kepada pemilik akan datang membawa kunci dan selepas kunci diserahkan kepadanya setengah jam kemudian, beliau membuka kereta berkenaan menggunakan alat kawalan jauh pada kunci.
Saya buat pemeriksaan dan mendapat lapan bukti fizikal. Bukti pertama iaitu kereta itu sendiri dan alat SmartTAG serta kad Touch n Go. Saya juga menemui iklan TM terletak di cermin depan kanan. Alat SmartTAG saya temui di ruang pintu kiri depan,
Beliau juga menemui diari dalam but kereta, dua calitan DNA pada stereng dan tombol gear, akhbar The Sun bertarikh 30 Ogos 2010 di belakang kereta dan bekas pewangi jenis lavender di sebelah pintu pemandu. Semua bahan bukti dimasukkan dalam sampul surat, dimeterai tanda forensik, penanda setiap bahan bukti, nombor kes, tarikh dan nama pegawai penyiasat.
Sheikh Zainal Abidin memberitahu mahkamah, beliau ada mengumpul bahan bukti di Kampung Kelanang, Banting, pada petang 14 September tahun lalu dan ketika sampai, dimaklumkan oleh Inspektor N Govindan mengenai enam keping zink ditemui di situ.
Memberikan keterangan pada perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, tahun lalu, pegawai polis itu berkata, beliau nampak tiga penyelam dari Unit Penyelam Pasukan Gerakan Marin berada dalam sungai itu dan menaikkan kepingan zink satu persatu dan meletakkannya di atas tebing.Ditanya peguam Manjeet Singh Dhillon, Sheikh Zainal Abidin memberitahu, beliau tidak tahu apa keputusan analisis terhadap calitan pada stereng dan tombol gear yang diambilnya, tidak dimaklumkan atau bertanya kepada pegawai penyiasat mengenai perkara itu kerana tugas pasukannya adalah untuk mengambil bahan bukti saja.
Beliau bersetuju calitan itu adalah untuk analisis DNA tetapi tidak bersetuju tidak ada keputusan positif ditemui. Suasana juga agak tegang apabila Manjeet bertanya penemuan kepingan zink di sungai di Jalan Kelanang, mengenai apa dimaksudkan sebagai kertas minyak digunakan untuk membalut kepingan itu dan bahan digunakan bagi membuat kertas itu.
Sheikh Zainal Abidin berkata, beliau tidak tahu apa panggilan kertas itu dalam bahasa Inggeris serta bahan untuk menghasilkannya dan beliau menggunakan kertas itu kerana ia besar dan boleh menutupi bahan bukti yang bersaiz besar, tetapi apabila terus didesak, beliau berkata peguam tidak sepatutnya bertanyakan soalan tiada kaitan.Pegawai polis itu berkata, kepingan zink berkenaan dibungkus selepas ia kering dengan membiarkannya terlebih dulu di atas tanah, tetapi tidak dapat menjawab soalan Manjeet mengenai bahagian bawah dan turut memberitahu mahkamah, beliau tidak ingat sama ada penyelam memakai sarung tangan ketika mengambil kepingan zink itu. bharian

No comments:

Post a Comment