Saturday, August 6, 2011

Nik Aziz arah cetak gambar mangsa mercun


KOTA BHARU 5 Ogos - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengulang cetak gambar mangsa mercun yang disiarkan akhbar untuk disebarkan kepada rakyat di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, ia sebagai pengajaran kepada orang ramai terutama golongan muda supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dilakukan oleh rakan-rakan sebaya mereka sebelum ini.
"Ibu bapa tolong nasihat anak- anak, waktu dapat duit jangan beli mercun. Anak-anak kita terletak atas kita kalau kita pesan selalu, insya-Allah.
"Saya minta gambar-gambar yang ada di surat khabar dicetak semula, kemudian letak di kampung-kampung biar orang rasa gerun dan takut untuk main mercun lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang remaja, Nasrudin Mohd. Nazli, 19, yang kehilangan tiga jari angkara mercun bola dalam kejadian di Kampung Dewan Beta dekat sini malam semalam.
Nik Abdul Aziz turut meminta golongan peniaga supaya berhenti daripada menjual mercun kerana ia membawa keburukan kepada orang ramai.
"Tiap-tiap tahun ada cerita budak kemalangan kerana mercun. Mercun bukan budaya orang Islam, orang berniaga semata-mata hendak duit sampai rela anak-anak kita cacat.
"Polis sudah kawal molek tetapi orang berniaga macam-macam tidak kira halal dan haram, dia seludup jual juga sehingga mengancam nyawa orang lain," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan melaksanakan arahan tersebut bermula esok untuk memastikan keselamatan rakyat di negeri ini.
"Seperti arahan Menteri Besar, kita akan mula mencetak dan mengedarkan gambar-gambar itu bermula esok," katanya.utusan

No comments:

Post a Comment