Tuesday, August 30, 2011

Teringin cium tangan ibu di pagi raya

KULIM: “Setiap kali mendengar lagu raya, perasaan saya bertukar hiba dan sayu mengenangkan nasib tinggal seorang diri tatkala melihat orang lain bergembira menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
“Saya teringin mencium tangan ibu memohon ampun pada pagi 1 Syawal sejak dua tahun lalu kerana sayangkan mereka (keluarga) walau apa pun dilakukan mereka sebelum ini.” Begitu luahan hati Azri Abdullah, 43, yang menderita apabila badannya disimbah asid dan dibuang ahli keluarga selepas berlaku perselisihan faham pada 2009 sebelum menetap bersama tiga sahabat baiknya di Taman Lagenda, Padang Serai, di sini.

Menurutnya, selepas keadaan dirinya pulih akibat kesan melecur disimbah asid, dia pernah pulang ke rumah keluarganya di Kampung Teluk Air Tawar, Pulau Pinang, namun hatinya terluka apabila dihalau ibu sendiri.

Katanya, dia pulang dengan niat baik, namun terkejut dengan sikap ibunya dan tidak menyangka dihalau sedangkan keadaan kesihatannya masih belum pulih akibat kesan melecur.

“Saya tidak faham mengapa mereka membenci saya begitu sekali hingga bertindak kejam membuang saya,” katanya.

Menurutnya, dia tinggal di rumah milik rakannya, Mohd Shahrel Mohd Ali, 29, bersama dua rakan lain, Mat Dori Osman, 34, dan Shahrul Kamel Jamaluddin, 42, dengan menjalani kehidupan secara sederhana.hmetro

No comments:

Post a Comment