Friday, September 16, 2011

Ibu gesa nama Aminulrasyid dibersihkan

SHAH ALAM 15 Sept. - Ibu Aminulrasyid Amzah, Norsiah Mohamad, hari ini melahirkan rasa syukur kerana nasib anaknya yang ditembak mati akhirnya terbela selepas anggota polis yang bertanggungjawab dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Dia bagaimanapun mengesa pihak polis membersihkan nama baik remaja berusia 15 tahun itu itu dengan menarik balik kenyataan dan tuduhan bahawa anak bongsunya seorang perompak dan penjenayah.
''Saya cuma mahu bersihkan nama Arwah. Dia bukan penjenayah. Polis yang labelkan dia penjenayah dan penyamun. Tolong bersihkan nama anak saya. Itu yang saya minta,'' katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Sesyen di sini.
Ditanya tentang hukuman penjara terhadap Koperal Jenain Subi yang didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, katanya, dia menghormati keputusan mahkamah itu.
Norsiah yang hadir bersama seorang anaknya, Tuty Shahniza Anom Amzah sebelum itu dilihat mengesat air mata semasa Hakim Latifah Mohd. Tahar membacakan keputusan tersebut.
Wanita itu bagaimanapun akan berbincang dengan ahli keluarga serta peguam tentang tindakan yang bakal diambil terhadap pihak polis yang menggelarkan anaknya sebagai penjenayah.
Dia turut menunjukkan tiga keping gambar Aminulrasyid yang sentiasa disimpan di dalam dompetnya kepada seorang petugas media.
Sementara itu, peguam pemerhati bagi keluarga Aminulrasyid, N. Surendran pula berkata, terdapat dua perkara yang masih belum selesai berhubung kematian Aminulrasyid.
Dakwanya, sehingga hari ini tiada siapa pun memohon maaf serta menarik balik tuduhan anaknya seorang penjenayah walaupun telah terbukti ia tidak benar.
Menurut beliau, Azamuddin Omar yang berada bersama Aminulrasyid bahawa dia dipukul oleh anggota polis pada malam kejadian juga tiada sebarang perkembangan sehingga hari ini.

No comments:

Post a Comment