Friday, September 16, 2011

Lebih satu juta PATI tidak mahu pulang

PUTRAJAYA 15 Sept. – Statistik proses pendaftaran 6P menunjukkan seramai 1,015,852 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menyatakan hasrat untuk terus menetap dan bekerja di Malaysia manakala 95,446 lagi ingin kembali ke negara asal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah yang ingin bekerja itu, seramai 966,542 mengisytiharkan telah mempunyai majikan.
‘‘Bagaimanapun, mereka ini digajikan secara tidak sah dan seramai 257,524 pula menyatakan tidak mempunyai majikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, daripada jumlah 1,303,126 PATI yang mendaftar melalui Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau 6P, seramai 284,331 orang mengisytiharkan sedang bekerja dalam sektor pembinaan.
Ia diikuti sektor perkhidmatan (269,510 orang), perkilangan (176,883 orang), perladangan (155,395 orang), pertanian (89,016 orang) manakala selebihnya 327,991 orang tidak menyatakan sektor pekerjaan secara khusus.
‘‘Data seumpama ini amat penting sebagai landasan untuk kajian dibuat tentang sebab dan alasan mereka bekerja secara tidak sah sama ada faktor majikan yang mengelak daripada membayar levi, ketiadaan dokumen atau disebabkan faktor dasar penggajian pekerja asing semasa.
‘‘Ini kerana Jabatan Imigresen mendapati terdapat jumlah yang signifikan PATI yang bekerja dalam sektor perkhidmatan, tetapi jenis pekerjaan tersebut tidak tersenarai sebagai sub sektor yang dibenarkan dasar penggajian pekerja asing sehingga membuat mereka memilih untuk bekerja secara tidak sah,” katanya.

No comments:

Post a Comment