Friday, September 2, 2011

Kaji akta hina monarki

BANGKOK: Lebih 100 ahli akademik antarabangsa menggesa Thailand mengkaji semula undang-undang ketat negara itu terhadap kesalahan menghina anggota monarki dengan alasan ia menyalahi hak asasi manusia.
Dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, mereka turut menggesa kerajaan mengkaji semula kes pesalah yang disabitkan dengan kesalahan menderhaka dan membebaskan dengan ikat jamin mereka yang masih dibicarakan di mahkamah atas kesalahan sama. Di bawah undang-undang Thailand, mereka yang didapati bersalah menghina raja, permaisuri, pewaris atau pemangku raja berdepan dengan hukuman 15 tahun penjara bagi setiap kesalahan. Bilangan kes menderhaka kepada raja semakin meningkat sejak 2005.

“Penyalahgunaan politik menyaksikan hak asasi manusia dicemari di Thailand,” kata Profesor Pengajian Asia di Universiti Chapel Hill di Carolina Utara, Amerika Syarikat, Kevin Hewison. “Penapisan laman sesawang, media dan dakwaan terhadap kesalahan tidak setia bermakna kekangan serius ke atas kebebasan,” katanya antara 112 ahli akademik yang menandatangani surat berkenaan. Yingluck, adik kepada bekas perdana menteri dalam buangan Thaksin Shianwatra, berkata selepas kemenangannya bulan lalu bahawa undang-undang terbabit tidak patut disalah gunakan, ekoran beberapa kes berprofil tinggi yang dikenakan ke atas penyokong abangnya.

Namun, sebagai tanda beliau tidak mahu mewujudkan konfrantasi secara langsung dengan golongan elit negara itu, kerajaan pimpinannya minggu lalu berikrar akan membentuk ‘bilik perang’ bagi membanteras segera hinaan secara dalam talian yang dilemparkan terhadap anggota monarki di Thailand. - AFP, hmetro

No comments:

Post a Comment