Thursday, September 15, 2011

Kes Mat Sabu ke Peguam Negara



Oleh Adha Ghazali 
adha@bharian.com.my
2011/09/15

ISMAIL (tengah) bertanya khabar  ketika  ketika turun padang meninjau keadaan mangsa banjir  di Bintong, semalam.
ISMAIL (tengah) bertanya khabar ketika ketika turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Bintong, semalam.
Ismail enggan dedah siasatan, bentuk pendakwaan mungkin diambil 

KANGAR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu, kepada pihak Peguam Negara untuk dipertimbangkan bagi tujuan pendakwaan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan mengenai sudut siasatan terbabit, termasuk bentuk pendakwaan yang mungkin dilakukan terhadap Mat Sabu, selain bila kertas siasatan itu diserahkan.
“Kami sudah serahkan kertas siasatan terbabit kepada Peguam Negara. Buat masa sekarang, saya tidak mahu komen apa-apa mengenainya dan saya rasa lebih baik kita biar saja Peguam Negara yang putuskan,” katanya ketika turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Surau Tebing Tinggi, dekat Bintong, di sini, menempatkan 80 penduduk yang terjejas. 

Terdahulu, Ismail sempat mendengar taklimat mengenai banjir yang melanda negeri ini yang disampaikan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner I, Zull Aznam Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini. 

Sementara itu, Ismail ketika ditanya mengenai cadangan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar berhubung kes terbabit berkata, sudut pendakwaan yang akan diambil kira tidak jauh berbeza daripada apa yang disarankan itu. 

Kelmarin, Haniff mengesyorkan tindakan mengikut Akta Hasutan dikenakan ke atas Mat Sabu kerana kenyataannya menggempar dan menakutkan masyarakat, selain Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana membabitkan kenyataan mendatangkan khianat awam. 
Dalam perkembangan lain, Ismail berpuas hati dengan hasil laporan enam jawatankuasa khas berhubung BERSIH 2.0 yang diserahkan pihaknya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, baru-baru ini. 

“Saya berpuas hati dengan laporan itu. Selebihnya, kita tunggu maklum balas Kabinet. Saya tidak mahu komen mengenai kandungan laporan itu. Pihak kami sudah serah kepada Menteri Dalam Negeri dan saya yakin ia akan dimajukan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Kelmarin, Hishammuddin mengesahkan laporan berhubung enam tuduhan terhadap polis ketika menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika perhimpunan haram BERSIH 2.0 akan dibentangkan di Kabinet tidak lama lagi. 

Mengenai banjir, Ismail berkata, pihaknya mahu satu prosedur arahan tetap (SOP) mengenai pengendalian banjir oleh PDRM diwujudkan bagi memudahkan tugas penyaluran bantuan dan pemantauan keselamatan ketika bencana itu. 

“Kita ada SOP tersendiri bagi pengurusan bencana. Cuma kita mahu mantapkan lagi SOP sedia ada supaya ia relevan dengan peredaran masa dan saya sudah minta Ketua Polis Perlis untuk siapkan laporan terbabit sebagai panduan,” katanya. 

Katanya, beliau akan meninjau beberapa negeri sekitar utara bermula semalam untuk mendekati anggota dan pegawainya, terutama untuk mengucapkan tahniah kepada anggota yang dinaikkan pangkat di semua kontinjen. 

No comments:

Post a Comment