Sunday, September 4, 2011

Komik pesong akidah ditemui



KUALA KRAI - Orang ramai terutama ibu bapa diingatkan agar berwaspada terhadap usaha pihak tertentu cuba menyebarkan dakwah Kristian secara halus di daerah ini.

Bendahari Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Mohd Rosli Hussain berkata, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu dikesan melalui penyebaran komik bertajuk ‘Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan’ dalam bahasa Indonesia.

Menurutnya, cara itu amat berbahaya terhadap pegangan umat Islam terutama kanak-kanak kerana kandungan komik dipetik dari beberapa bab dalam ‘Bible’ seperti Matius; Lukas; Yohanes dan Markus.

“Saya percaya dakwah ditujukan khusus kepada kanak-kanak menerusi penyebaran komik berwarna bagi menarik perhatian mereka manakala kandungannya diolah melalui kisah seorang bapa bercerita kepada dua anaknya.

“Jika tidak berwaspada, saya khuatir kanak-kanak Islam yang membaca komik ini terpengaruh dengan isi kandungannya sedangkan ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya.

Komik setebal 30 muka surat itu diterbitkan Bibles International of Canada manakala terbitan pertama di Indonesia pada 1996 dan terbitan kedua pada 1998.

Mohd Rosli berkata, puluhan komik sama ditemui seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di kaunter dalam bilik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di bandar ini, Rabu lalu.

“Kebetulan anggota polis terbabit datang berhari raya di rumah saya dan menyerahkan dua naskhah komik ini manakala selebihnya dimusnahkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli menggesa pihak berkuasa berkenaan agar memantau perbuatan pihak terbabit yang dilihat bertindak berani apabila cuba menyebarkan dakwah Kristian secara terbuka.

Menurutnya, orang Islam yang terjumpa komik itu dinasihatkan agar memusnahkannya bagi menangani usaha penyebaran agama lain dan mempertahankan akidah mereka.

“Ini soal akidah dan apabila ada pihak yang cuba menggugat kesucian Islam, kita wajib mempertahankan agama suci ini lebih dari segala-galanya.

“Kalau komik ini diletakkan di gereja, tidak ada masalah kerana itu rumah ibadat mereka tetapi bila disebarkan di tempat awam, perbuatan ini kita tak boleh terima,” katanya.

Umat Islam di negara ini baru-baru ini dikejutkan dengan gerakan sebuah gereja di Damansara Utama yang didakwa cuba memurtadkan orang Islam dan tindakan sebuah pusat tuisyen di Jalan Klang Lama yang mengajar lagu-lagu berunsur Kristian kepada murid Islam.

No comments:

Post a Comment