Sunday, September 4, 2011

Lelaki kedua terpendek Duta Pelancongan Nepal



Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2011/09/04

KHAGENDRA bersama wartawan Berita Minggu pada majlis makan malam sempena promosi Tahun Melawat Nepal 2011 di Kuala Lumpur, kelmarin.
KHAGENDRA bersama wartawan Berita Minggu pada majlis makan malam sempena promosi Tahun Melawat Nepal 2011 di Kuala Lumpur, kelmarin.
Gelagat Khagendra setinggi 67sm ibarat budak riang 

KUALA LUMPUR: Berat badannya cuma sekitar sekampit beras 5 kilogram (kg), suaranya pula halus seperti kanak-kanak kecil baru pandai bertutur, manakala gelagatnya ibarat kanak-kanak riang yang pasti mencuit hati sesiapa saja kali pertama bertemu lelaki kedua terpendek dunia dari Nepal, Khagendra Thapa Magar.
Dengan ketinggian 67 sentimeter (sm) dan berat 5.5kg, Khagendra, 19, juga dikenali ‘Buddha kecil’ di kalangan penduduk kampungnya di Daerah Baglung, Nepal.
Kali pertama bertemu Khagendra yang juga Duta Pelancongan Nepal bagi Kempen Tahun Melawat Nepal 2011, penulis mendapati lelaki kenit itu mempunyai perwatakan menarik selain tidak lokek dengan senyuman. 

Misalnya ketika ditanya, apakah makanan Malaysia digemarinya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini pada 17 Ogos lalu, Khagendra hanya membuat isyarat tangan seperti memotong roti merujuk roti canai yang disukainya sebelum ketawa halus. 

“Saya suka semuanya mengenai Malaysia, dannebat (terima kasih)” katanya dalam bahasa Nepal sambil diterjemahkan bapa angkatnya, Min Bahadur Rana yang juga Pengerusi Yayasan Khagendra Thapa Magar ketika ditemui Berita Minggu selepas majlis makan malam mempromosikan Tahun Melawat Nepal 2011 di sini, kelmarin. 

Khagendra, anak kepada pasangan Rup Bahadur dan Dhana Maya Thapa Magar, dalam misi mempromosikan Nepal yang terkenal dengan Banjaran Himalaya dan juga negara asal kelahiran Buddha. 
Selain Malaysia, Khagendra sebelum ini mengadakan promosi pelancongan di Itali, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Korea Selatan. 
Khagendra berkata beliau sudah biasa dengan perhatian sejak kecil, malah dia ditemani adik lelakinya, Ramesh Thapa, 15, setiap kali keluar rumah atau ke sekolah. 

“Semua orang suka bergambar dengan saya, mereka juga suka mendukung saya, tetapi apa boleh buat saya seperti bintang filem,” katanya yang segak berkot dan topi nepal yang menjadi identitinya. 

Ditanya apakah aktiviti kegemarannya waktu lapang, Khagendra berkata dia suka menonton televisyen dan bermain bola menyebabkan penulis ketawa sebelum Khagendra menyampuk, “saya juga mempunyai bola, tapi bola lebih kecil.” 

No comments:

Post a Comment