Tuesday, October 25, 2011

138 kes kelemahan pengurusan perbelanjaan babit RM361 juta


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Analisis oleh Jabatan Audit Negara terhadap perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan pada 2010 mendapati terdapat 138 kes kelemahan pengurusan perbelanjaan berjumlah RM361 juta melibatkan beberapa kementerian dan jabatan.

Jabatan itu menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010 melaporkan, daripada 138 kes tersebut, sebanyak 75 kes perbelanjaan melebihi peruntukan melibatkan 14 kementerian dengan jumlah lebihan sebanyak RM306 juta.

Kementerian Kesihatan mencatatkan lebihan perbelanjaan paling besar iaitu RM173 juta membabitkan 25 kes diikuti Kementerian Dalam Negeri sebanyak RM56.8 juta (lima kes) dan Kementerian Luar berjumlah RM52.7 juta (21 kes).

Kementerian lain adalah Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (RM14.1 juta); Kementerian Pertahanan (RM6.5 juta) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (RM1.1 juta).

''Perbelanjaan melebihi peruntukan iaitu sebanyak RM306 juta di 14 kementerian dan jabatan itu disebabkan bayaran perkhidmatan dan bekalan, aset serta pemberian dan kenaan bayaran tetap," jelas laporan itu.

Menurut jabatan itu lagi, sebanyak lapan kementerian tidak membelanjakan langsung peruntukan yang diluluskan iaitu berjumlah RM9.88 membabitkan 17 kes.

Sebanyak 21 kementerian dan jabatan pula memohon peruntukan tambahan, pendahuluan daripada Kumpulan Wang Luar Jangka serta membuat viremen berjumlah RM45.07 juta.

"Bagaimanapun tambahan peruntukan dan viremen yang diluluskan itu tidak dibelanjakan malah peruntukan asal masih mempunyai baki berjumlah RM24.95 juta.

"Keadaan ini boleh dielakkan sekiranya kementerian dan jabatan berkenaan memantau peruntukannya dengan teliti," jelas laporan itu.

Jabatan itu menjelaskan lagi, semakan juga mendapati secara keseluruhannya sembilan kementerian dan jabatan berbelanja sebanyak RM3.73 bilion melebihi peruntukan keseluruhan.

Utusan Malaysia Online - Laporan Khas:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment