Tuesday, October 25, 2011

Penggantungan Aziz Bari ditarik balik


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini menarik balik penggantungan khidmat ke atas pensyarah undang-undang, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari berkuatkuasa serta merta.

Peguam pensyarah berkenaan, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, dengan keputusan itu Abdul Aziz perlu melapor diri ke universiti berkenaan esok.

''Bagaimanapun siasatan ke atas beliau (Abdul Aziz) berhubung kenyataannya terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah masih diteruskan," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Beliau menambah, keputusan tersebut dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang dihantar UIAM kepadanya kira-kira pukul 6.30 petang.

Khidmat Abdul Aziz digantung UIAM pada 19 Oktober lalu ekoran kenyataannya mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang disiarkan portal propembangkang Malaysiakini baru-baru ini, Abdul Aziz dipetik berkata, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja tersebut bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Selain itu, Abdul Aziz turut menyifatkan tindakan Sultan Selangor dilihat tidak konsisten.

Kenyataan beliau mendapat kecaman daripada beberapa Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap Abdul Aziz ekoran keceluparannya itu.

Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin baru-baru ini berkata, dalam tempoh penggantungan itu, Abdul Aziz perlu memberi penjelasan berhubung isu tersebut iaitu sama ada beliau telah menjejaskan kepentingan universiti selaras dengan Peraturan 15, Peraturan Tatatertib Kakitangan atau tidak.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung 'pembebasannya' oleh pihak UIAM.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment