Saturday, October 22, 2011

Aziz Bari dihadap ke tribunal UIA


KUALA LUMPUR 21 Okt. – Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari akan dihadapkan ke tribunal universiti jika surat tunjuk sebab beliau berhubung kenyataannya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, tidak kukuh.

Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, tindakan menggantung khidmat Abdul Aziz bermula kelmarin bertujuan memberi beliau masa dan peluang yang secukupnya untuk membela diri dan bukan sebagai ‘hukuman’ sebagaimana diuar-uarkan oleh sesetengah pihak.

“UIAM dikecam kerana menggantung beliau, tetapi ramai yang tidak tahu maksud ‘gantung’ itu. Kami bukan menghukum Abdul Aziz tetapi memberi peluang kepadanya untuk membela diri.

“Tindakan universiti menggantung beliau tidak bercanggah dengan mana-mana undang- undang universiti mahupun negara. Jadi, mengapa perlu UIAM dikecam dan mengapa tindakan kami menggantung beliau dipersoalkan?” katanya pada sidang akhbar di UIAM hari ini.

Semalam, peguam Abdul Aziz, Dr. Zulqarnain Lukman memberitahu UIAM menggantung khidmat Abdul Aziz bermula kelmarin sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak kerana kenyataan beliau berhubung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Zaleha menegaskan, dalam tempoh penggantungan itu, Abdul Aziz perlu memberi penjelasan berhubung isu tersebut iaitu sama ada beliau telah menjejaskan kepentingan universiti selaras dengan Peraturan 15, Peraturan Tatatertib Kakitangan atau tidak.

“Dalam peraturan tersebut, telah dijelaskan bahawa kebebasan ahli akademik dalam membuat sebarang kenyataan umum hendaklah tidak bercanggah dengan kepentingan universiti.

“Tetapi, tindakan Abdul Aziz itu secara tidak langsung telah menyebabkan nama baik UIAM terjejas,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment