Tuesday, November 1, 2011

Isu RM600j panaskan sidang DUN

DAP Pulau Pinang disindir kelirukan rakyat langsai hutang kerajaan BN

GEORGETOWN: Kegagalan kerajaan negeri menjelaskan pengurangan hutang sebanyak RM600 juta kepada rakyat selepas kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil alih pentadbiran negeri menjadi topik hangat pada persidangan DUN, semalam.
Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata perkara itu menimbulkan kekeliruan kerana rakyat beranggapan kerajaan negeri begitu hebat sehingga boleh menjelaskan hutang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam masa tiga tahun.
Ketika mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008, hutang kerajaan berjumlah RM630.13 juta dan berkurangan kepada RM29.66 juta pada September lalu.

Bagaimanapun, katanya, perkara sebenarnya bukan sedemikian kerana pengurangan hutang berlaku disebabkan penghijrahan aset air kepada Pengurusan Aset Air Bhd melalui perjanjian yang ditandatangani pada 2 Jun lalu.

“Kerajaan negeri tidak menyatakan dengan jelas pengurangan hutang sebanyak RM600 juta itu disebabkan penghijrahan aset air kepada Pengurusan Aset Air Bhd.

“Kalau rakyat tidak berhati-hati, mereka sudah tentu fikir kerajaan negeri kumpul duit untuk menjelaskan hutang itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2012.
Ketika pentadbiran BN, kerajaan negeri mendapat pinjaman mudah daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai pembinaan pelbagai kemudahan berkaitan pembekalan air.

Bagaimanapun, selepas pengstrukturan semula bekalan air menerusi penubuhan Pengurusan Aset Air Bhd, hutang itu dipindahkan ke syarikat berkenaan.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga berkata, tanpa penjelasan terperinci, tentu ada pihak beranggapan kerajaan negeri secara puratanya berjaya mengurangkan hutang sebanyak RM14.3 juta sebulan untuk tempoh tiga setengah tahun pentadbirannya.

“Hebat sungguh kerajaan negeri sebab dapat kurangkan RM600 juta dalam masa tiga setengah tahun,” katanya sambil menyindir kerajaan negeri kerana mengelirukan rakyat mengenai perkara itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang mencelah perbahasan itu, tidak setuju dengan Azhar yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan negeri membayar hutang sebanyak RM14.3 juta setiap bulan dalam tempoh itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui pengurangan hutang itu berikutan penghijrahan aset air kepada Pengurusan Aset Air Bhd.

“Hutang itu dilakukan masa BN dan sekarang kerajaan negeri berjaya mengurangkannya. Saya tertanya-tanya kalau dalam tempoh tiga setengah tahun boleh bayar hutang RM600 juta, banyak mana (wang) yang dikumpulkan kerajaan negeri,” katanya.

Syed Ameruddin Syed Ahmad (BN-Bayan Lepas) yang turut mencelah berkata, pembangkang tidak mempertikaikan pengurangan jumlah hutang kerajaan negeri, tetapi penjelasan perlu dibuat bagi mengelak rakyat terkeliru.

Azhar yang menyambung perbahasan berkata, penghijrahan aset air bagi mengurangkan hutang kerajaan negeri sebenarnya sudah diusahakan oleh kerajaan BN terdahulu, tetapi tertangguh sehinggalah perjanjian ditandatangani pada Jun lalu.
Berita Harian Online | Isu RM600j panaskan sidang DUN:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment