Tuesday, November 1, 2011

Ugut Aziz Bari macam mafia Mexico

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengancam pakar undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari dengan mengirim beliau sebutir peluru ke rumahnya, kelmarin.
“Bagi DPPM, tindakan ini melampau serta keterlaluan bagi sebuah negara yang aman seperti Malaysia. Ia juga ibarat tindakan kumpulan mafia atau gangster di negara seperti Mexico atau Colombia,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Katanya, DPPM bimbang, trend mengugut seperti ini pastinya akan menganggu gugat keharmonian negara ini.
“Rumah disimbah cat, kiriman peluru, mengugut ahli keluarga, dilontar molotov cocktail adalah budaya baru masyarakat yang amat menggerunkan.
“Ia juga merendahkan nilai intelektualisme dalam negara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, jika tokoh akademik pun boleh dilayan seperti itu, apakah lagi nilai yang boleh diharapkan di negara kita.
atanya, rRakyat akan hilang kewarasan untuk berfikir manakala tokoh-tokoh akademik pula takut untuk memberi pandangan mereka kerana akan menjadi mangsa ugutan di masa hadapan.
Ujarnya, DPPM mengingatkan mana-mana pihak, bahawa Prof Dr Abdul Aziz Bari tidak sesekali bercakap luar daripada kerangka perlembagaan.
Riduan berkata, sebagai seorang yang pakar terhadap perlembagaan, tidaklah salah beliau mengutarakan pendapatnya yang selari pula dengan perlembagaan negara.
Meskipun kenyataan beliau mengundang sikap tidak senang bagi sesetengah pihak, ia perlu dibalas hujah pula dengan akademik.
Menurutnya lagi, mengugut sambil berselindung ibarat ‘melontar batu sembunyi tangan’ adalah tindakan pengecut bagi mereka yang terdesak.
Katanya, kebenaran tidak akan terserlah selagi mana mereka yang seperti ini berada dalam masyarakat.
“DPPM yakin, isu ini pasti akan dapat diselesai dengan baik jika semua pihak berlapang dada dan menerima teguran dengan hati terbuka,” ujarnya.
Oleh itu, katanya DPPM meminta pihak polis jalankan siasatan secara terperinci berhubung kes itu dan ambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.
Beliau menambah, pihak polis juga diharapkan dapat mengawal keselamatan Prof Dr Abdul Aziz Bari dan keluarga beliau dari sebarang tindakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“DPPM menyeru, mana-mana golongan yang tidak berpuashati untuk tampil ke depan bagi mendapatkan penjelasan serta berhujah dengan cara yang baik,” katanya.
Ugut Aziz Bari macam mafia Mexico:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment