Sunday, November 20, 2011

Kelantan larang siar gambar bekas sultan

KOTA BHARU: Semua media massa termasuk akhbar dan televisyen di negeri ini, dilarang menyiarkan sebarang bentuk gambar ayahanda Sultan Kelantan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, berkata kenyataan akhbar terbabit selepas mendapat perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.


“Jawatankuasa Pemantauan Keistimewaan dan Keselamatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra menerima maklum bahawa pada masa ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, masih lagi menerima rawatan berterusan dan menunjukkan sedikit peningkatan kepada status kesihatan baginda.

“Kami (jawatankuasa) dengan ini berpendapat bahawa pada masa ini, tidak sesuai bagi semua media massa termasuk televisyen, akhbar-akhbar dan mana-mana penerbitan termasuk secara maya menyiarkan sebarang bentuk gambar Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra,” katanya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa terbabit berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Keistimewaan dan Keselamatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra di Hotel Renaissance di sini, semalam.


Tujuh ahli jawatankuasa itu termasuk, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nordianah Hassan; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Datuk Dr Ghazali Hasni Hassan; Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan timbalannya, Datuk Mazlan Lazim.

Selain itu, jawatankuasa itu disertai Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, Pakar perunding Kanan Perubatan (Endokrin) Hosputal Universiti Sains Malaysia (HUSM), Datuk Prof Wan Mohamad Wan Bakar dan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood.


Ditanya lanjut mengenai larangan terbabit, beliau berkata hanya perihal positif berhubung Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra boleh disiarkan di akhbar mahupun televisyen kecuali penyiaran gambar yang dikuatkuasakan serta-merta, semalam.

“Baru-baru ini, keluar artikal dalam akhbar ketika hari keputeraan baginda Sultan Muhammad V, apabila turut disiarkan majlis sambutan hari ulang tahun keputeraan bekas Sultan Kelantan, SuItan Ismail Petra, di Istana Mahkota, Kubang Kerian, di sini.


“Sultan Muhammad V, tidak murka tapi baginda berasa perkara itu tidak sesuai.” Beliau yang diajukan soalan sama ada tindakan akan diambil kepada pihak menyiarkan gambar berkenaan, tidak ada sebarang arahan diterima mengenainya tetapi wartawan perlu beretika dalam menyiarkan sebarang maklumat.

myMetroKelantan larang siar gambar bekas sultan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment