Sunday, November 20, 2011

Kriminal: Menggelupur di tengah jalan

SEPANJANG minggu ini, dunia digemparkan dengan rakaman video pemandu van dan lori yang dengan sengaja melanggar seorang kanak-kanak berusia dua tahun, dikenali sebagai Yue Yue di Foshan, Guangdong, China, pada 13 Oktober lalu.

Lebih menyedihkan, suntingan rakaman video selama tujuh minit itu turut menunjukkan 18 orang yang lalu-lalang di lokasi kejadian, tidak mempedulikan dan membiarkan mangsa terkulai parah di bahu jalan terbabit.

Hanya selepas individu ke-19, iaitu seorang wanita berusia 57 tahun, Chen Xianmei yang juga pengutip sampah, datang menyelamatkan Yue Yue dan kemudiannya berusaha mencari ibu bapa mangsa berkenaan.

Agensi berita kerajaan China, Xinhua yang memetik kenyataan seorang jurucakap perubatan sebagai berkata, Yue Yue kini dalam keadaan yang amat kritikal dan mangsa masih koma serta otaknya gagal berfungsi.


Katanya, kestabilan dan keadaan mangsa juga merosot, walaupun menunjukkan tanda-tanda akan pulih dalam beberapa minggu ini.


“Kami diarahkan supaya tidak mendedahkan maklumat (kesihatan) terperinci mengenainya,” kata sumber berkenaan lagi.
Begitupun, Yue Yue gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kelmarin, sebagaimana yang dilaporkan akhbar, Foshan Daily.

Laporan sebuah laman sesawang, Shanghaiist menyatakan dua pemandu yang bertanggungjawab dalam insiden berkenaan sudah pun ditahan dan hanya menunggu masa untuk dibawa ke muka pengadilan.

Laporan itu turut mendedahkan salah seorang pemandu itu ada menghubungi bapa mangsa sebelum ditahan dan menawarkan sejumlah wang bagi menebus kesilapannya.

Suspek itu berkata, ketika kejadian, dia tidak menyedari kelibat mangsa di atas jalan raya kerana ketika itu dia sedang berbual menggunakan telefon bimbit.

“Apabila saya tersedar melanggar mangsa, saya terfikir untuk turun (dari van) dan melihat keadaannya. Namun saya dapati mangsa sudah parah, saya tekad dan ambil keputusan melarikan diri kerana menyedari tiada siapa yang melihat insiden itu,” katanya.

Bapa mangsa, dikenali sebagai Wang dalam satu temuramah televisyen, berkata dia tidak menyangka apa yang berlaku dan berharap anaknya itu kembali pulih.

“Yue Yue anak yang periang. Saya harap dia akan bangun dan kembali memanggil saya ayah,” katanya.

Ibu mangsa pula, Que Feifei kini difahamkan masih dalam trauma.

Sementara itu, berdasarkan laporan China Daily, satu-satunya akhbar nasional berbahasa Inggeris di China, sekurang-kurangnya 10 pertubuhan merangkumi parti dan jabatan kerajaan, badan kebajikan serta persatuan di Guangdong sudah memulakan debat untuk menghukum 18 individu yang membiarkan dan tidak membantu mangsa.

Dalam kenyataan akhbar itu, Zhu Yongping yang juga seorang peguam di Firma Datong Law berkata insiden berkenaan cukup memalukan negara mereka dan tiba masanya untuk mewujudkan undang-undang bagi menghukum individu yang enggan memberi bantuan kepada pihak sewajarnya.

“Ada banyak undang-undang sedia ada, termasuk menghalang orang yang mabuk memandu kereta. Ini adalah masa yang tepat supaya perundangan diwujudkan bagi ‘menghukum’ individu yang enggan membantu orang lain yang dalam kesusahan,” katanya.


INFO

MANGSA: Yue Yue
UMUR: Dua tahun
KES: Maut selepas cedera parah dalam langgar lari
TARIKH KEJADIAN: 13 Oktober 2011
LOKASI KEJADIAN: Foshan, Guangdong, China
SUSPEK: Dua individu yang tidak dinamakan

FAKTA JENAYAH: Satu rakaman video mendedahkan sebuah van dan lori dengan sengaja melanggar Yue Yue sehingga mengalami kecederaan parah. Lebih mengejutkan, 18 orang yang lalu-lalang di lokasi kejadian tidak mempedulikan dan membiarkan mangsa terkulai di bahu jalan

FAKTA KES: Kedua-dua pemandu yang melanggar mangsa sudah ditahan dan menunggu masa untuk dibicarakan. Baru-baru ini, sekurang-kurangnya 10 pertubuhan di China membabitkan parti dan jabatan kerajaan, pertubuhan serta persatuan di Guangdong memulakan debat untuk menghukum 18 individu yang tidak membantu mangsa. Mereka juga mahukan kerajaan China mengambil inisiatif mewujudkan undang-undang untuk menghukum individu yang enggan membantu orang lain dalam kesusahan

myMetroKriminal: Menggelupur di tengah jalan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment