Wednesday, December 14, 2011

1,900 rakyat Malaysia dijel

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Kira-kira 1,900 rakyat Malaysia meringkuk dalam penjara di luar negara akibat dijadikan keldai dadah.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 270 mangsa ditahan di Thailand dan 200 (Singapura).

Menurutnya, hampir 25 peratus daripada mereka yang terpedaya dalam sindiket itu adalah golongan wanita.

"Perkara ini cukup merisaukan kita kerana kebanyakan mereka yang menjadi mangsa adalah daripada kalangan terpelajar dan tidak kurang juga graduan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan pendidikan kepada 100 murid dan pelajar kurang berkemampuan Bahagian Gombak anjuran bersama Parti Gerakan, Kelab Anak Malaysia dan Magnum Corporation.

Tambah Kohilan, berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri mendapati sebahagian besar mangsa yang dijadikan keldai dadah itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ini bermakna sindiket yang berkaitan bergerak secara profesional dan bijak bagi mengelakkan pergerakan mereka dihidu oleh pihak penguat kuasa," ujarnya.

Mereka yang menjadi mangsa pula, katanya, adalah dalam kategori usia antara 20 hingga 35 tahun. Kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap atau berpendapatan rendah.

Beliau juga menyatakan kebimbangan kerana dengan adanya rangkaian laman sosial Facebook pergerakan sindiket itu menjadi lebih rancak kerana Malaysia mempunyai antara jumlah pengguna Internet yang tertinggi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment