Wednesday, December 14, 2011

Pembeli buat laporan polis

Oleh ABDUL YAZID ALIAS


Mohamed Durrani Izam (kanan) bersama pembeli lain menunjukkan dokumen yang digunakan seorang lelaki untuk menipu mereka berhubung pembelian rumah kos rendah di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang, semalam.


KLANG 13 Dis. – Setelah tidak mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, lapan pembeli pangsapuri kos rendah Taman Botanic di sini yang didakwa ditipu oleh individu yang mengaku Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Besar tampil membuat laporan polis hari ini.

Laporan tersebut dibuat kira-kira pukul 1 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini bagi meminta pihak berkuasa itu menyiasat serta mengambil tindakan terhadap individu berkenan yang dikenali sebagai Haji Mohd. Yatim Abu Bakar.

Pengerusi jawatankuasa bertindak pembeli berkenaan, Mohamed Durrani Izam berkata, laporan polis itu diharap dapat memberikan keadilan yang sewajarnya kepada pembeli berkenaan.

“Tidak ada cara lain lagi bagi pembeli mendapat keadilan mereka dalam soal ini. Kami mahu polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan.

“Sebelum ini, kerajaan negeri ada menyatakan untuk membantu menyelesaikan masalah ini tetapi sampai ke hari ini tiada maklum balas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di sini, hari ini.

Mohamed Durrani berkata, bulan lalu pihaknya mendapat jaminan daripada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin bahawa kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini kerajaan negeri belum melakukan apa-apa tindakan bagi membantu pembeli terlibat.

Pada 8 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 650 pembeli projek pangsapuri kos rendah di beberapa daerah di negeri ini terpaksa berputih mata apabila orang tengah bergelar Haji Mohd. Yatim yang menguruskan urusan jual beli kediaman itu menghilangkan diri tanpa dapat dikesan sehingga kini.

Apa yang menyedihkan pembeli malang terlibat, pangsapuri kos rendah tersebut sudah siap, tetapi sehingga kini proses penyerahan kunci kediaman tersebut gagal dilakukan.

Berdasarkan surat tawaran yang diberikan kepada mereka, pembelian pangsapuri kos rendah itu melibatkan projek rumah kos rendah di Selayang Mulia di Selayang, Taman Botanic, Taman Harmoni di Balakong dan Taman Cheras Intan di Cheras, kesemuanya telah sah diperuntukkan kepada mereka.

Malah, kesemua pembeli turut membayar wang pendahuluan sebanyak RM2,100 kepada Haji Mohd. Yatim dan mereka tidak meragui kesahihan transaksi jual beli rumah tersebut kerana individu itu telah memberi resit bukti pembayaran dan surat-menyurat menggunakan kepala surat Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment