khalwat

GEORGETOWN - Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang menetapkan 9 Januari depan untuk membuat keputusan berhubung kes Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan, 30, yang akhirnya mengaku bersalah berkhalwat, baru-baru ini.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan tarikh baru untuk keputusan berikutan kegagalan Salim untuk hadir ke mahkamah semalam.

Nik Bukhari Hashimy berkata, mahkamah bersedia memberikan keputusan untuk kes itu hari ini (semalam), berikutan pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, pada 22 November lalu.

“Disebabkan seorang tertuduh tidak hadir, mahkamah berpendapat kehadiran kedua-dua tertuduh dalam kes ini adalah perlu ketika hukuman­ dijatuhkan.

“Dalam kes ini, mahkamah akan membacakan hukuman serentak terhadap kedua-dua tertuduh untuk keadilan supaya mengelak berlaku prejudis.

“Oleh itu, mahkamah menetapkan tarikh baru untuk keputusan,” katanya.

Difahamkan, Salim tidak hadir ke mahkamah semalam disebabkan urusan keluarga yang dimaklumkan lebih awal kepada pihak mahkamah.

Sebaik sahaja prosiding selesai, Nur Diayana bersama individu dipercayai anggota keluarga dilihat berlari ke arah kereta Myvi yang telah menunggunya di luar mahkamah.

Terdahulu, Salim dan Nur Diayana mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel tiga bintang di Batu Feringghi, di sini, April lalu.

Pengakuan itu dibuat oleh kedua-dua mereka di hadapan Nik Bukhari Hashimy sebaik sahaja pertuduhan tersebut dibacakan semula.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 19 April lalu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan yang dikemukakan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Mohd Zulkhairi Aziz, pasangan tersebut yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak, kira-kira jam 5 pagi, 16 April lalu di bilik hotel di Batu Feringghi di sini.
Salim sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27(b) enakmen sama.