Friday, December 2, 2011

NFC: Siasatan masih jalan, kata Hishammuddin

Oleh Clara Chooi
December 02, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Dis ― Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Putrajaya belum menutup siasatan berkenaan projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meskipun polis mengatakan tiada elemen pecah amanah (CBT) setakat ini.

“Ya, hanya disebabkan tiada elemen CBT, ia tidak bermakna kes sudah berakhir,” kata beliau (gambar)kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri enggan mengulas lanjut tetapi mengesahkan siasatan masih dijalankan.“Saya fikir tidak tanggungjawab bagi saya untuk membuat komen berdasarkan itu,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Kelab Umno Luar Negara di sisi Perhimpunan Agung Tahunan Umno di sini hari ini.

Dalam kenyataan pagi tadi, Jingga 13 amat kesal dengan kenyataan polis semalam bahawa siasatan awal mendapati tiada unsur pecah amanah jenayah dalam kes melibatkan skandal NFC.

Ia juga mendakwa wujud konspirasi mahu menyelamatkan Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno dan anggota Kabinet, dan keluarganya.

Pertubuhan tidak formal itu membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkenaan pembelian kondominium mewah di Bangsar menggunakan dana projek itu dan kemudian kes itu dipindahkan kepada polis.

Ketua Koodinator Jingga 13 Fariz Musa berkata, kenyataan dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar semalam kelihatan tergesa-gesa dan terlalu ‘pantas’ sedangkan siasatan masih di peringkat awal.

“Kenyataan Datuk Seri Khalid Abu Bakar ternyata bertujuan untuk membersihkan Datuk Seri Sharizat Jalil dan ahli keluarganya dengan skandal yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM13.8 juta yang secara jelas menyimpang daripada matlamat asal pelaksanaan projek lembu fidlot kebangsaan yang bukan sahaja gagal terhadap objektif asal, malah diseleweng dengan membeli kondominium mewah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pagi semalam, Khalid berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan sambil memberi jaminan proses itu akan dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah. Namun, kita masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

“Kita sudah panggil 74 individu untuk diambil keterangan setakat ini,” katanya.

Main - Bahasa - NFC: Siasatan masih jalan, kata Hishammuddin @ Fri Dec 02 2011:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment