Friday, December 23, 2011

Pas tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk sabotaj - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Kemelut dalaman Pas bertambah 'menggelegak' apabila Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula ikut serta dengan mengeluar kenyataan berbentuk amaran, bahawa Pas tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan sabotaj.
Tegas beliau, Pas akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang mencetus sabotaj sama ada dari dalam mahu pun luar parti, yang bertujuan untuk mengganggu persiapan akhir parti itu lebih-lebih lagi dalam keadaan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin hampir.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, Pas akan memanggil bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali serta Ketua Penerangan Pas Selangor, Shaari Sungip bagi memberi penjelasan berhubung krisis terkini.
Sambil menyifatkan perang mulut antara Nasharuddin dan Hasan dengan pucuk pimpinan Pas sebagai membazir masa parti, beliau berkata, penjelasan perlu dibuat oleh ketiga-tiga individu berkenaan agar selepas ini, tiada lagi masa perlu dihabis untuk melayan pertikaian sedemikian.
"Tidak perlu membazir masa melayan pertikaian akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan serta keengganan menerima keputusan parti dan jemaah. Semua ahli mesti memainkan peranan untuk memastikan jemaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.
"Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir (PRU Ke-13) daripada melayan kerenah segelintir pemimpin yang berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin hala tuju oleh Majlis Syura," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kemelut dalaman Pas mula meledak apabila Pas Selangor dikatakan mahu 'menendang' Hasan daripada negeri itu selepas Shaari secara mengejut membuat pendedahan kepada media bahawa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu tidak cukup percalonan untuk diangkat menjadi calon.
Hasan kemudiannya bangkit mempertahankan diri dan langkah sama diikuti Nasharuddin, malah kedua-dua pejuang tulen Pas dalam mempertahan Islam itu turut membidas pucuk pimpinan parti kerana cepat melatah dengan mendakwa mereka terperangkap dengan mainan politik UMNO.
Kemuncaknya, Hasan mahu Pas kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan negara Islam sekali gus menolak konsep negara berkebajikan yang diperkenalkan selepas parti itu berkerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), selain muncul di ruangan Soal Jawab di TV3.
Menjawab desakan Hasan itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas adalah sebuah parti jemaah yang berdemokrasi maka segala keputusan bukan keputusan individu tetapi keputusan yang dibuat dalam jemaah selain turut mendakwa apa yang diperjuangkan sekarang selari dengan Islam.
"Setiap ahli Pas perlu bergerak kearah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan iaitu memenangkan Islam. Oleh itu, pendam dendam, buang kekecilan hati, ketepi kepentingan individu, fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti," katanya.
Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment