Badrulamin_Bahron

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Kerajaan Selangor, Dr Badrolamin Bahron menafikan beliau menyamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Imam Mahadi.

Beliau sebaliknya menjelaskan, berlaku kekeliruan apabila beliau menyebut hadis kebangkitan dari Timur.

Menurutnya, beliau hanya menyebut secara ringkas dan umum tentang hadis tersebut di mana akan berlaku kebangkitan Islam dari Timur, namun bagi kebanyakan orang mengatakan ia merujuk kepada Imam Mahadi.

“Saya tidak pernah sebut nama Imam Mahadi dalam mana-mana ceramah. Saya hanya menyebut, potensi yang ada pada Anwar untuk menyatukan dunia Arab dan sekali gus penyatuan itu akan menjadi asas kepada pembebasan Al Aqsa.

“Saya tidak menggunakan hadis itu untuk secara spesifik merujuk Imam Mahadi, saya hanya menyebutnya secara umum tentang kebangkitan Islam datang dari Timur. Jadi, tidak mustahil ada pemimpin dari Timur yang mampu menyatukan dunia Arab dan membebaskan Al
Aqsa,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas dakwaan beliau menyamakan Anwar dengan Imam Mahadi dalam satu video ceramah pada 26 Disember lalu yang tersebar di Internet.

Badrolamin berkata, potensi dimiliki Anwar diterima negara Arab malah Anwar kini menjadi penasihat kepada beberapa negara Arab selain bersahabat baik dengan ramai pemimpin negara Arab termasuk Penasihat Mesir, Sheikh Yusuf Al-Qardawi.

Beliau berkata, potensi yang dimiliki Anwar itu juga diakui sendiri rakyat Negara Arab yang ditemui beliau ketika menunaikan fardu haji baru-baru ini.

“Rakan dari Mesir kata, mereka tidak nampak satu tokoh dari dunia Arab yang mampu menyatukan Arab. Jadi selepas berbincang dan berbincang, kata mereka tidak mustahil akan wujud pemimpin bukan dari dunia Arab yang akan menyatukan dunia.

“Mereka kenal Anwar Ibrahim, mereka tahu apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim, simpati kepada Anwar dan mereka sendiri mengharapkan melalui segala rintangan dan tampil sebagai pemimpin umat bukan hanya pemimpin Malaysia,” katanya.

Menurutnya, potensi Anwar juga dapat dilihat dengan kedudukannya di mata masyarakat Barat di mana orang Barat sendiri menghormati pendirian Anwar, prinsip ketegasannya dalam isu kemanusiaan dan sebagainya.

Beliau berkata, Anwar boleh bercakap di pentas Barat dan di pentas Timur malah potensi itu dilihat dari segi sejarah dan komitmen beliau dalam perjuangan Islam dan kemanusiaan.

Katanya, pada masa ini, beliau tidak nampak ada pemimpin lain yang lebih berpotensi untuk penyatuan Arab selain daripada Anwar.