Peguam bantah cara polis tangani demo pelajar

SHAH ALAM - Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) kesal dengan tindakan polis terhadap penuntut yang berdemonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim, Perak, awal pagi semalam.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kejadian itu dapat dielakkan jika pihak berkuasa menangani dengan berhemah dan tidak menggunakan kekerasan sehingga mengakibatkan kecederaan kepada penuntut terbabit.

“PPMM berharap polis menghormati hak berkumpul yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, namun jika mereka (penuntut) tidak mengikut lunas undang-undang, pihak berkuasa perlu mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) yang ada, bukan melalui kekerasan.

“Malah, dengan bukti yang ada, jika berlaku pelanggaran dalam undang-undang, polis boleh mendakwa mereka di mahkamah dan diberi hak bela diri,” katanya.

Beliau berkata, penuntut yang mengalami kecederaan perlu diberi rawatan dengan segera di samping membebaskan beberapa tahanan berkenaan.


Untuk memastikan keadilan kedua-dua belah pihak, katanya, PPMM menggesa polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat insiden ini dan sekiranya berlaku kekerasan sehingga melampaui undang-undang, anggota polis terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah.

“Kami khuatir sekiranya insiden yang berlaku di luar negara menjadi pemangkin kepada polis di negara ini berbuat perkara yang sama yang boleh mencemarkan imej negara di mata dunia.


“Jika ini diamalkan, ia menunjukkan pihak berkuasa menyanggah sistem demokrasi yang diamalkan. Justeru, segala tindakan perlu berasaskan kepada peruntukan mengikut norma dan tata susila budaya negara kita,” katanya.