SHAH ALAM – Presiden Perkasa Ibrahim Ali digesa memohon maaf dan mengakui tidak sensitif kerana tindakan beliau memberikan angpow menggunakan sampul putih pada majlis rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina, semalam.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata, tindakan Ibrahim itu juga dilihat sebagai penghalang kepada usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperjuangkan konsep 1Malaysia.

“Sampul putih hanya digunakan oleh kaum Cina ketika majlis pengebumian sahaja dan tindakan Ibrahim itu telah menyinggung perasaan kaum Cina yang sepatutnya menyambut perayaan kemasyhuran dan kegembiraan.

“Tindakan beliau (Ibrahim) seolah-olah tidak sensitif dan jahil tentang budaya kaum-kaum di negara ini sedangkan beliau telah menjadi Ahli Parlimen sejak sekian lama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.