Hasmy Agam

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpandangan tegas bahawa agensi-agensi penguat kuasa tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa dan, antara lain, harus menghormati hak kumpulan yang terpinggir terutamanya masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Dengan merujuk kepada kejadian penahanan dan penangkapan 13 Orang Asli di Gua Musang, Kelantan oleh pihak polis Sabtu lalu, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, jelas bahawa suku kaum Temiar telah mengadakan bantahan secara aman terhadap aktiviti-aktiviti syarikat pembalakan yang telah menceroboh ke atas tanah mereka.

"Malangnya lagi pihak polis telah didakwa menggunakan kekerasan dalam rombakan sekatan oleh masyarakat Orang Asli dan dalam proses tersebut telah menunjukkan sikap kurang sensitif, kurang mengambil berat dan kurang pemahaman tentang nasib rakyat yang terpinggir," katanya.

Tambah beliau, juga difahamkan bahawa aktiviti pembalakan masih lagi diteruskan walaupun selepas jaminan diberikan oleh pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan ketidakpuasan suku kaum Temiar ini menjelang pertengahan bulan ini.

"... dengan itu telah mencetuskan bantahan suku kaum Temiar, pihak polis dilaporkan telah merombak penghalang dan membakar struktur bersebelahan yang dibina oleh suku Temiar yang telah hanya menyatakan pendirian mereka dalam perjuangan untuk menuntut kembali hak mereka kepada tanah adat," kata beliau.

Selain itu tambah beliau, ahli keluarga dan rakan-rakan dilaporkan telah dihalang untuk mengiringi mereka ke pusat tahanan dan mereka juga telah dinafikan perwakilan peguam sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.

"Suhakam menggesa kerajaan negeri untuk bertindak segera dalam menyelesaikan nasib masyarakat Orang Asli di Kelantan dan melindungi hak mereka kepada tanah nenek moyang dan hak kepada kehidupan.

"Adalah juga digesa agar semua kerajaan negeri menghormati keputusan mahkamah yang telah memberi hak tanah kepada Orang Asli dan agar dapat mengadakan lebih banyak rundingan terbuka bersama masyarakat ini," katanya.

Hasmy berkata, Suhakam sedang menjalankan Inkuiri Nasioinal buat pertama kalinya mengenai hak tanah masyarakat Orang Asli yang bermatlamat untuk merangka syor-syor kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk mengkaji semula perundangan domestik tanah dan dasar-dasar yang menerapkan pendekatan hak asasi dan untuk merangka strategi dan pelan tindakan dengan tujuan untuk melindungi dan mempromosi hak mereka kepada tanah.

Laporan Bernama menyebut polis menahan 13 Orang Asli, yang dipercayai mengetuai perhimpunan haram 800 penduduk kaum itu di Kampung Parik di sini, kerana mengingkari arahan untuk bersurai.

Perhimpunan itu diadakan sejak awal Sabtu lalu dan menghalang pelbagai kenderaan daripada melalui Jalan Kuala Betis-Pos Tohoi sebagai membantah tanah adat mereka diceroboh dengan aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang.

Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Aziz Hassan berkata suspek ditahan pada kira-kira 5.20 petang selepas rundingan polis dengan beberapa ketua perhimpunan terbabit gagal, dan mereka berkeras untuk meneruskan perhimpunan itu.

"Mereka membuat tindakan sendiri dengan menghalang kenderaan yang melalui jalan terbabit dan kita khuatir juga perhimpunan berkenaan ada dalang daripada penduduk luar dari kampung itu," katanya.