SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali meletakkan jawatan memikul tanggungjawab dalam isu penggunaan wang zakat untuk membayar yuran guaman.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, kedua-dua mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa.

"Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan.

"Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil," kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu perbuatan tercela, justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan.

Kata beliau lagi, timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.

"Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat, justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya.

"Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti," kata Nasrudin lagi.

Tambah Nasrudin, berlaku penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua-dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Che Mat.

"Kelihatan YB Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang.

"Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesahihan dakwaan tersebut," katanya lagi.

Selain itu kata beliau, lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan menteri yang bertanggungjawab ke atas isu-isu agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah umat Islam.