KUALA LUMPUR – Pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dipercayai telah memanggil satu mesyuarat lembaga pengarah syarikat itu dan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM), dijadual akan berlangsung esok, untuk memutuskan beberapa perkara penting.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat and Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh ahli keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil oleh NFC.

"Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil dua mesyuarat ini dalam tempoh singkat berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan," katanya lagi.

“Keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urus niaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat seperti mana didedahkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini tadi.

Sehubungan itu, Rafizi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan supaya tidak lagi berdiam diri dan segera campur tangan dengan membekukan sebarang aktiviti oleh semua syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta.

Katanya, Kementerian Kewangan cuba mencuci tangan dengan langsung tidak menerima tanggungjawab walaupun beliau sendiri yang menganugerahkan projek ini kepada NFC.

"Malah kecuaian beliau boleh menyebabkan baki dana harta yang dibeli dengan dana rakyat lesap melalui pelbagai urus niaga yang dibuat selepas skandal ini didedahkan.

"Oleh kerana ada cubaan di pihak NFC untuk menjalankan urus niaga yang mencurigakan, saya cadangkan kerajaan Malaysia melalui wakil-wakilnya dalam lembaga pengarah NFC melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih pentadbiran NFC sementara siasatan selesai," katanya.

Beliau menambah, tindakan ini bertepatan dengan amalam tatakelola yang baik seperti yang biasa diamalkan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku.