Tuesday, January 17, 2012

Mahu dedah ‘parasit’

KUALA LUMPUR: “Saya akan dedahkan siapa mereka dalam ‘roadshow’ saya nanti,” kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mengenai ‘parasit’ yang didakwanya mempunyai pengaruh amat kuat dalam Pas hingga pucuk pimpinan parti itu terpaksa tunduk kepada mereka.

Hasan yang dipecat dari Pas baru-baru ini akan mengadakan ‘roadshow’ ke seluruh negara dalam tempoh terdekat bagi mendedahkan nama ketua dan pengikut golongan ‘parasit’ itu serta menjelaskan kedudukan sebenar berhubung isu pemecatannya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu turut digugurkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkuat kuasa semalam.

Hasan sebelum ini mendakwa terdapat sekumpulan parasit di dalam Pas yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain, serta tidak suka isu arak dan murtad diperjuangkan di Selangor sebelum Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman mencabar beliau mendedahkan senarai nama kumpulan ‘parasit’ itu, kelmarin.


Hasan berkata, kumpulan ‘parasit’ dalam Pas itu sudah bergerak cergas dan menyusup dalam parti sejak 20 hingga 30 tahun lalu dan kini semakin kuat dan ramai di antara mereka sudah memegang pelbagai penting dan strategik dalam parti.


Katanya, golongan ‘parasit’ dengan jumlah lebih besar dan menggunakan strategi licik berjaya mengubah hala tuju Pas termasuk dalam kes memecatnya.

“Saya tahu rangkaian mereka di peringkat daerah, negeri hinggalah antarabangsa. Saya akan dedahkan semuanya dalam ‘roadshow’ nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media di rumahnya, di sini, semalam.


Hasan turut mempertikaikan tarikh penggugurannya sebagai Exco kerajaan Selangor yang berkuat kuasa semalam kerana ia bercanggah dengan kuat kuasa keahliannya sebagai ahli Pas yang sepatutnya tamat pada hari akhir tempoh rayuan. “Tindakan tergesa-gesa itu seolah-olah menampakkan ada pihak tidak sabar-sabar mengeluar dan menggantikan tempat saya, sedangkan dari segi pengguguran anggota exco, saya sepatutnya masih ada tiga minggu lagi tempoh bertenang untuk membuat keputusan,” katanya. Hasan dipecat dari Pas kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti dan sudah diberikan sehingga 7 Februari ini untuk membuat rayuan. Ditanya kemungkinan ada punca lain menyebabkan beliau dipecat, katanya, beliau tidak pasti kerana tidak pernah menerima sebarang surat pertuduhan secara bertulis daripada parti. “Saya tidak tahu kesalahan saya dan saya hanya dikatakan sudah merugikan parti,” katanya. Sementara itu, Hasan turut menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai Umno kerana masih sayangkan Pas.

“Hati saya masih bersama Pas. Apabila semua ‘parasit’ di dalam Pas nanti sudah tidak ada dan Pas kembali ke perjuangan asalnya, saya akan memohon kembali menyertai Pas,” katanya.

myMetro | Mahu dedah ‘parasit’:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment