SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menasihatkan Datuk Dr Hasan Ali supaya ‘muhasabah diri’ terlebih dahulu berhubung keputusan parti memecat keahliannya dan bukannya meletakkan kesilapan diri terhadap orang lain dengan mewujudkan fitnah ‘parasit'.

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzan berkata, sekiranya wujud parasit dalam PAS seperti yang disebut, maka sewajarnya bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu wajar membuat laporan kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diambil tindakan susulan dan bukannya ‘menjaja’ di dada-dada akhbar semata-mata untuk mengharapkan simpati masyarakat.

"Sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi dalam Pas dan berpengalaman sebagai seorang ahli motivasi, Datuk Hasan sepatutnya berjiwa besar untuk menerima teguran dan keputusan parti serta mengikut prosedur parti untuk merayu keputusan pemecatan beliau.

"Tetapi beliau telah menunjukkan ‘belang’ sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh dikawal oleh peraturan parti," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu kata beliau, Dewan Pemuda PAS Selangor melihat tindakan Hasan ingin menjelajah seluruh negara untuk 'membela’ diri dan mendedahkan parasit yang menyebabkan beliau dipecat hanya akan mendapat cemuhan dan cercaan masyarakat serta menghilangkan hormat rakyat ke atas beliau kerana rakyat telah mengikuti kronologi pemecatan beliau dan telah ‘mengenali’ siapa Hasan beliau yang sebenarnya.

"Dewan Pemuda PAS Selangor tidak akan berdiam diri, malah bersedia untuk menjelajah seluruh negeri Selangor untuk menjawab tohmahan dan fitnah Datuk Hasan terhadap Pas sekiranya beliau masih lagi memperlekehkan dan menghentam PAS secara terbuka," katanya lagi.

Mohd Sany menambah, Dewan Pemuda Pas Selangor mengharapkan semoga Hasan akan menyedari kesalahan dan kesilapan yang telah beliau lakukan terhadap Pas dan memohon maaf kepada seluruh pimpinan dan ahli parti itu "atas segala ketelanjuran dan keceluparan beliau sebelum ini."

"Janganlah disebabkan oleh kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh Umno/Barisan Nasional," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya Pemuda Pas Selangor.