Nik-Abdul-Aziz-bersalaman-dengan-ahli-Persatuan-Pemandu-Teksi-Taman-Putera-sejurus-tiba-di-perkarang

PASIR PUTEH - Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Pas sering kali dipersendakan oleh pihak pembangkang berhubung isu bina masjid.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak membina masjid bukan bermakna tidak Islam kerana di negara Thailand, Singapura ada banyak masjid tetapi negara itu tidak mempunyai ramai orang Islam dan jumlah masjid di sesebuah kawasan bukanlah pengukur Islam ataupun tidak.

”Bina masjid tidak semestinya Islam dan saya kelak tidak akan bina masjid tetapi akan membantu mana-mana masjid yang inginkan bantuan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Ambang Merdeka Pas Kawasan Pasir Puteh di Masjid Majidiah, Wakaf Berangan di sini, semalam.

Menurutnya, apa yang cuba Kerajaan Negeri lakukan sekarang ialah mendidik rakyat di negeri ini agar menggunakan wang mereka untuk melakukan kebajikan seperti bersedekah kepada masjid dan sebagainya.

Nik Aziz berkata, apa guna mereka mencari duit jika hanya sekadar untuk membeli beras, kereta, rumah sedangkan duit itu langsung tidak digunakan untuk membeli pahala yang boleh dijadikan bekalan di akhirat nanti.

Beliau berkata, perkara inilah yang cuba beliau serapkan kepada rakyat dengan mendidik mereka untuk membelanjakan duit tersebut kepada jalan yang dituntut oleh Islam.

”Sepanjang 21 tahun Pas memerintah di negeri ini saya boleh katakan hanya tiga buah masjid dibina dan salah satunya ialah di Rantau Panjang iaitu Masjid Beijing.

”Ia dibina bagi menunjukkan kepada orang ramai terutama bukan Islam bahawasanya Islam bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi untuk semua,” katanya.

Nik Aziz berkata, selepas ini beliau berharap tiada lagi isu berhubung berapa banyak Pas bina masjid di Kelantan kerana keIslaman tidak diukur dengan jumlah masjid.

Majlis Sambutan Ambang Mereka Pas Kawasan Pasir Puteh tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua Pas Kawasan, Dr Nik Mazian Nik Mohamed yang juga merupakan Adun Gaal, Timbalannya, Yuganu Yunus, Setiausaha merangkap Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat dan Adun Selising, Drs Saipul Baharin Mohamed.